Mahkamah Rayuan dianggotai hakim-hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Abdul Karim Jalil dan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak rayuan Cheong Teik Keon.

"Kami berpendapat tiada sebab untuk mengganggu dapatan hakim yang arif berkenaan," kata Mohd Zawawi, yang mempengerusikan panel itu.

Beliau berkata mahkamah itu berpuas hati dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Cheong telah gagal dalam pelaksanaan bebanan berkaitan ketidakwarasan.

Cheong, 35, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi George Town yang mendapatinya bersalah dan mengenakan hukuman mati terhadapnya kerana membunuh Tan Ching Chin di Taman Hwa Seng, Jalan Rozhan, Alma, Seberang Prai, Pulau Pinang pada  8.40 pagi 14 Februari 2013.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi mendengar keterangan seorang pakar psikiatri bahawa Cheong didakwa menikam teman wanitanya tiga kali sebelum cuba membunuh diri dengan menikam dirinya empat kali kerana mempercayai dia akan disatukan kembali dengan wanita itu di syurga.

Pakar psikiatri itu berkata Cheong, yang dirujuk kepadanya untuk dibuat penilaian, mempunyai idea bersifat romantik dan idealistik bahawa dia dan simati akan dihidupkan semula di syurga sebagai pasangan kekasih.

Semasa prosiding, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Cheong berhujah bahawa pesuruhjaya  kehakiman Colin Lawrence Sequerah terkhilaf dalam keputusannya bahawa keadaan tidak siuman dari segi  ndang-undang tidak dibuktikan oleh pihak pembelaan berdasarkan keseimbangan kemungkinan.

Beliau berkata pesuruhjaya kehakiman itu tidak mengambil kira keterangan perubatan oleh seorang  pakar perunding terapi forensik, yang memaklumkan kepada mahkamah bahawa Cheong tidak berupaya untuk mengetahui bahawa tindakannya itu adalah salah kerana dia mengalami gangguan kemurungan teruk dan tidak siuman ketika kejadian.

Timbalan pendakwa raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir menggesa mahkamah menolak rayuan  Cheong dengan berkata Cheong dirujuk kepada pakar psikiatri berkenaan bagi menentukan sama ada dia sihat untuk menghadapi perbicaraan, bukan untuk memeriksa sama ada dia siuman atau tidak. - Bernama