Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pindaan akta terbabit memperuntukkan hukuman penjara mandatori antara tiga tahun dan 10 tahun selain meningkatkan denda maksimum RM1 juta terhadap individu yang disabitkan kesalahan atas jenayah berkenaan.

"Pindaan (Akta Perlindungan Haiwan Liar 2010) tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober depan dan dijangka boleh dikuatkuasakan mulai tahun hadapan.

"Kita berhadapan dengan aktiviti pemburuan haram yang memberi ancaman haiwan liar yang semakin kepupusan seperti harimau dan gajah bukan sahaja dalam kalangan warga tempatan malah rakyat asing terutama dari Vietnam, Myanmar dan Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum 'Mengharungi Cabaran Pengurusan Hidupan Liar Masa Hadapan' di 
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang turut dihadiri Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Ainie Mokhtar di  sini semalam

Abdul Kadir yang juga Professor Adjunct Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, UMT berkata, pindaan itu juga akan membolehkan Perhilitan mengambil tindakan lebih berkesan untuk menyekat aktiviti penyeludupan haram hidupan liar dan terancam menerusi media sosial seperti Facebook dan Instagram. - K! ONLINE