Pegawai Pertahanan Awam Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Bau, Patrick Lagak Pateh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk kampung yang memberitahu air naik dengan cepat kira-kira pukul 7.45 malam.

"Banjir ini kemungkinan berpunca daripada limpahan air gunung yang membawa arus deras ke sungai yang terletak berhadapan dengan banyak rumah penduduk di sini," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Bung Siradjak di sini tadi.

Menurutnya, air naik sehingga ke paras dada dalam tempoh lima minit sehingga mengakibatkan penduduk kampung tidak sempat menyelamatkan barang-barang penting.

Katanya, penduduk kampung juga mengalami kerugian besar apabila terdapat perabot, kereta termasuk barang-barang kemas yang hilang dihanyut arus deras.

"Malah, persiapan penduduk kampung selama seminggu lalu bagi meraikan Hari Gawai esok juga musnah sama sekali," ujarnya.

Katanya, APM akan terus memantau kampung itu memandangkan cuaca yang tidak menentu hari ini.

Pusat pemindahan ini juga dijangka ditutup pada pukul 5 petang nanti. - K! ONLINE