Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata amaran cuaca bahaya itu melibatkan daerah Pekan dan Rompin di Pahang serta Segamat dan Mersing di Johor.

Sementara itu, amaran cuaca buruk dikeluarkan bagi Kuantan, Maran dan Bera di Pahang serta di Kluang, Johor berikutan hujan lebat berserta angin kencang yang dijangka berterusan sehingga esok.

Menurut jabatan itu, amaran cuaca waspada berikutan hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku dalam tempoh sama di Terengganu, melibatkan daerah Kemaman dan Dungun; Pahang (daerah  Jerantut, Temerloh dan Bentong); Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Kota Tinggi); Negeri Sembilan  (Jelebu, Jempol, Tampin, Kuala Pilah dan Rembau) serta Melaka.

Dalam pada itu, hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku di Sabah iaitu di Bahagian Kudat, Sandakan (Daerah Beluran) dan Pantai Barat (Daerah Kota Belud dan Ranau) bermula esok hingga Rabu. - Bernama