Saksi kejadian, Syelliza Abang Basri berkata, ketika kejadian, dia sedang memandu dari Kota Samarahan menuju ke rumahnya di Kuching.

"Tiba-tiba, angin kuat berserta hujan dan kemudian ternampak seperti ketulan ais dipercayai hujan batu.

"Saya kemudian berhenti tepi jalan dan merakamkan video untuk ditunjukkan kepada kawan-kawan di Facebook," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, hujan yang berlaku tadi cukup lebat. 

Sementara itu, seorang lagi penduduk di Pusat Komersial Stutong yang mahu dikenali Joshua memberitahu, ketika kejadian dia sedang mandi dan terkejut terdengar bunyi kuat yang jatuh ke atas bumbung.

"Saya melihat seketika dan mendapati kawasan ini dilanda hujan batu yang merupakan kejadian pertama kali tahun ini," ujarnya tadi. 

Fenomena itu kemudiannya menjadi tular selepas pengguna laman sosial berkongsi kejadian itu di Facebook masing-masing. - K ONLINE!