Video yang berdurasi seminit 33 saat itu memaparkan seorang wanita memukul dan menampar seorang kanak-kanak ketika menukar lampinnya dan sehingga kini, lokasi dan waktu sebenar kejadian tersebut masih belum dapat dipastikan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, PDRM telah mengesan video tersebut yang tersebar di laman media sosial pada hari ini.

“Kami memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Sehingga masa kini, tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat melalui aplikasi pesanan di akaun Facebook dan Twitter rasmi PDRM dan juga melalui aplikasi WhatsApp Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di talian 019-3019930. - K! ONLINE