Pemangku Pengurus Besarnya, Sundralingam Kulendra berkata, Hotel Sama-Sama KLIA yang merupakan satu-satunya hotel yang menghubungkan KLIA menunjukkan peningkatan tersebut terutama ketika berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke -14 pada Mei lalu.

"Ini menunjukkan Hotel Sama-Sama KLIA terus stabil dan mendapat permintaan yang baik terutama daripada pelancong transit yang memilih untuk menginap di hotel ini sebelum ke destinasi seterusnya serta pelanggan korporat.

"Selain itu, kita juga mendapat sokongan daripada semua syarikat penerbangan yang menjadikan hotel ini sebagai tempat penginapan krew penerbangan," katanya ketika ditemui pada Pameran Seni 'Sayangi Malaysiaku - Apa Yang Aku Rasa' sempena Hari Malaysia di Hotel Sama-Sama KLIA di sini hari ini.

Pameran itu dilancarkan oleh Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Ketika ditanya mengenai cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pula, Sundralingam berkata, pihak Hotel Sama-Sama KLIA turut mengenakan caj SST sebanyak enam peratus sama seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diwajibkan bermula 1 September lalu.

Dalam pada, mengulas mengenai Pameran Seni 'Sayangi Malaysiaku - Apa Yang Aku Rasa', beliau berkata pameran tersebut merupakan salah satu inisiatif pihak Hotel Sama-Sama KLIA yang menghimpunkan lukisan hasil karya pelukis tempatan, Johari Ibrahim.

"Program ini julung kalinya diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan pelanggan di hotel ini sempena menyambut Hari Malaysia," katanya.

Tambah beliau, selain dapat melihat hasil kesenian dan muzik tradisional tempatan, pelanggan juga boleh sama-sama menyumbang di mana 15 peratus daripada setiap pembelian hasil lukisan yang dipamerkan akan disalurkan untuk tujuan kebajikan.

"Sebanyak 15 peratus daripada hasil jualan daripada lukisan ini akan didermakan untuk tujuan kebajikan sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Hotel Sama-Sama KLIA," katanya. - K! ONLINE