Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bangunan itu akan dibina di atas tapak seluas 3.1 hektar di dalam kawasan sama Kolej Kejururawatan Melaka di Jalan Mufti Haji Khalil di sini.

Katanya, hospital itu nanti akan menyediakan 440 katil dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan pesakit antara 35 hingga 40 peratus di Hospital Melaka.

"Kerja-kerja awal untuk memohon peruntukan berjumlah RM200,000 daripada Unit Perancang Ekonomi sudah dijalankan bagi melaksanakan proses awal pembinaan.

“Pembinaan hospital ini akan dilaksanakan mulai tahun depan dan dijangka siap dalam anggaran tempoh dua atau tiga tahun iaitu antara 2022 atau 2023,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Melaka hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Rohaizat Yon; Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rushdi Ramly dan Pengarah Hospital Melaka, Dr. Hatijah Mohd. Tan.

Pada lawatan itu, Dzulkefly turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM17,000 untuk membeli 10 unit kerusi hemodialisis dan RM90,000 untuk pembelian 10 unit troli pesakit, kedua-dua di Hospital Melaka. - K! ONLINE