Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, hospital itu akan menjadi 'subspecialty cluster' kerana kemudahan yang disediakan merangkumi pelbagai bidang kepakaran termasuk ortopedik dan oftalmologi (mata).

"Pesakit yang perlu rawatan 'specialty' (bidang) tertentu boleh dirujuk ke hospital ini dan pesakit dari kawasan berkaitan juga boleh dirujuk ke hospital ini," katanya menjawab soalan tambahan Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (Amanah-Kuala Krai) di sini.

Mohd Hatta ingin tahu adakah kementerian bercadang menjadikan hospital itu sebagai pusat rujukan mana-mana kes atau kategori penyakit tertentu.

Terdahulu, Dr Hilmi berkata setakat 31 Jan lepas, hospital itu telah 99.5 peratus siap dan sekarang berada di peringkat pengujian dan pentauliahan serta pemeriksaan bilik ke bilik.

"Proses ini dijangka siap pada 30 Mac 2018, selepas itu akan berlaku pemindahan peralatan yang perlu dipindah dan juga pemindahan kakitangan. Ia dijangka beroperasi selepas 30 Mac, mungkin dalam bulan April atau Mei," katanya. - Bernama