Senjata tiruan berkenaan yang merupakan selaras senapang automatik jenama HK416 dan dua pucuk pistol adalah berkualiti tinggi, malah kelihatan 100 peratus sama dengan senjata sebenar kecuali fungsinya sahaja yang berbeza.

Siasatan polis mendapati kedua-duanya memiliki senjata api tiruan menggunakan peluru manik itu disebabkan terlalu obses dengan aktiviti menembak sehingga sanggup membeli senjata berkenaan menerusi Facebook pada harga sekitar RM1,000 seunit.

Semua orang umumnya memiliki hobi yang bermacam ragam.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad contohnya masih gemar menunggang kuda dan menunggang basikal pada usia 93 tahun.

Selain menyukai muzik rock dan mempunyai koleksi motosikal berkuasa tinggi, Presiden Joko Widodo dari Indonesia pula mengisi masa lapangnya dengan membaca komik Jepun, Doraemon.

Tentunya bukan hanya dua pemimpin Asia Tenggara itu yang punya hobi. Di seluruh dunia, ramai tokoh dan jutawan memiliki hobi yang lebih menarik, mahal, lucu dan pelik. Daripada hobi mengumpul setem, makan-makan sehinggalah menonton burung. Ada semuanya.

Orang terkaya dunia, Jeff Bezos dengan kekayaan AS$161 bilion (RM644 bilion) misalnya ternyata memiliki hobi yang bukan biasa-biasa.

Pengasas Blue Origin itu menikmati waktu terluangnya dengan ‘memburu’ serpihan roket angkasa lepas Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) yang jatuh di lautan.

Bilionair Warren Buffet pula obses bermain alat muzik ukelele termasuk secara siaran langsung di televisyen.

Pelbagai hobi ini dilakukan dengan berbagai-bagai tujuan. Ada yang tiba-tiba sahaja mendapat idea, sekadar berseronok atau mahu menukar hobi menjadi perniagaan. Bahkan sesetengah mereka melakukannya tanpa ada sebarang tujuan!

Pakar-pakar bersetuju hobi mempunyai sisi baik dan buruk.

Banyak hobi yang mampu mencipta jalan atau ruang baharu untuk membuat otak bekerja lebih cepat, lebih baik dan lebih pintar. Itulah kata pakar.

Antaranya bermain alat muzik yang berupaya merangsang kreativiti, kemampuan menganalisis, bahasa, matematik dan gerak motor otot.

Begitu juga permainan Sudoku, teka silang kata dan permainan video yang dikatakan dapat meningkatkan neuroplastisiti. Ia berkait dengan kemampuan otak untuk menata atau mengurus. Mereka yang memiliki neuroplastisiti tinggi biasanya tidak mudah panik ketika berdepan keadaan cemas dan depresi.

Namun, di sebalik alasan menghilangkan stres, sesete­ngah hobi cenderung menyebabkan ketagihan, menghabiskan wang dan menjejaskan hubungan dengan orang tersayang.

Hobi adalah sifat universal yang ada pada semua orang namun seharusnya tidak berlebih-lebihan atau menyalahi undang-undang seperti yang dilakukan dua bersahabat di Masjid Al-Ubudiyah berkenaan.

Apa yang paling penting, hobi tersebut ada manfaatnya.

Imam Al-Ghazali mengatakan sebaik-baik hobi adalah hobi yang ikut ke dalam kubur, berupa amal soleh sebagai bekal di akhirat kelak.

Kata-kata seorang ulama, Hatim Al Asham ini juga boleh dijadikan renungan: “Aku memperhati manusia satu per satu, ternyata manusia memiliki hobi dan hobi-hobi tersebut terus mendampingi mereka sampai detik-detik terakhir kehidupan mereka.

“Namun setelah ku amati, ketika manusia meninggal dunia dan masuk ke dalam kubur, hobi-hobi tersebut tidak ikut masuk ke dalam kubur bersama mereka.”