Laporan polis tersebut dibuat oleh wakil NGO yang diketuai Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini.

Amir Amsaa berkata, rakaman audio tersebut yang menggunakan kata-kata kesat selain menghasut rakyat adalah satu perbuatan yang tidak menghormati dan menggugat keharmonian negara.

“Dalam rakaman audio berdurasi kira-kira 10 minit yang tular sejak seminggu lalu itu, individu berkenaan telah mencaci menggunakan kata-kata kesat dalam Bahasa Tamil yang mana ia jelas tidak menghormati perasaan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Individu tersebut juga turut merendahkan martabat sesuatu kaum dan menghasut rakyat supaya memboikot kedai-kedai mamak yang dilihat adalah satu tindakan berniat jahat,” katanya ketika ditemui pemberita di IPD Sentul di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amir Amsaa meminta agar pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.

“Saya menyeru agar pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap rakaman audio yang tular ini,” ujarnya.

Selain itu, lima lagi NGO yang membuat laporan polis ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Amanah Rahsia Cekal (ARC), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Persatuan Badan Kebajikan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa India Muslim Kuala Lumpur dan Selangor (Pembaktim) serta Kipidap. - K! ONLINE