Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, himpunan berkenaan bertujuan memperkukuhkan perpaduan umat dan memartabatkan agama Islam.

"Orang bukan Islam jangan salah tafsir mengenai program ini kerana ia tidak bersifat rasis dan khabar angin yang digembar-gemburkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab adalah bermotifkan politik.

"Umat Islam sentiasa menjaga hubungan baik dengan masyarakat India dan Cina demi kemakmuran negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ramah Mesra bersama masyarakat Cina dan India di Dewan Majlis Daerah Jerantut, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua MCA Jerantut, Datuk Lau Lee dan Ketua MIC Jerantut, A. Raju Vadivelu.

Menurutnya, terdapat segelintir individu cuba memesongkan fakta mengenai himpunan berkenaan dengan niat mewujudkan perselisihan faham antara kaum.

"Saya harap ketua setiap parti komponen dapat menyampaikan maklumat yang tepat bagi memastikan perpaduan kaum terus utuh," ujarnya.

Tambah beliau, UMNO Cawangan Jerantut turut menyeru umat Islam agar hadir beramai-ramai di perhimpunan berkenaan untuk mewujudkan rasa tanggungjawab bagi memartabatkan agama Islam.

Himpunan yang melibatkan kerjasama UMNO dan Pas itu akan bermula pada pukul 6.30 petang hingga 11 malam. - K! ONLINE