Mangsa, Mohd. Khir Ismail dan Yusni Mohd. Yusof masing-masing berusia 36 tahun keluar ke laut pada pukul 5.30 petang dengan menaiki sebuah bot gentian kaca.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, pengadu iaitu bapa mertua mangsa, Ramzan Mohd. Ali, 64, tampil membuat laporan berhubung kejadian orang hilang tersebut.

Menurutnya, setelah kedua-dua mangsa tidak pulang ke rumah masing-masing pada sebelah pagi semalam (Jumaat) sebelum  sekumpulan nelayan menjejaki mangsa.

"Rakan mangsa telah menjumpai beberapa barang peribadi milik mangsa iaitu kad pengenalan, telefon serta rokok di dalam kotak ikan dalam kotak ikan di atas sebuah kapal dagang yang rosak dan bersauh di perairan Pulau Pisang.

"Namun, kedua-dua mangsa serta sebuah bot yang dinaiki mereka tidak kelihatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata pihaknya menerusi Maritime Rescue Co- ordination Centre Johor Bahru (MRSC JB) telah mengaktifkan operasi carilamat (SAR) pada pukul 5.30 petang semalam sejurus menerima maklumat kejadian dari Balai Polis Ayer Baloi, Pontian.

Katanya, pasukan SAR menjejaki bot mangsa berwarna biru putih menggunakan enjin 40hp itu meliputi keluasan 60 batu nautika persegi termasuk sekitar persisir pantai Pontian Besar sehingga Benut.

"Sebanyak tuga buah aset laut dari pelbagai agensi iaitu Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan untuk mencari mangsa.

"SAR turut dibantu 3 buah bot Nelayan Pantai dengan kekuatan keseluruhan anggota operasi SAR ini adalah seramai 64 orang termasuk anggota yang melakukan pencarian darat di sepanjang pesisir pantai," katanya. - K! ONLINE