Lagipun pada waktu itu sering terfikir apa yang bagus sangat memikul beg berat saban minggu menjelajah hutan rimba jika dibandingkan de­ngan duduk di asrama bersama rakan-rakan lain.

Selepas hampir dua dekad meninggalkan dunia pengajian dan menempuh suka duka alam pekerjaan, baru terbuka hati untuk memulakan aktiviti pendakian.

Itu pun selepas menyertai aktiviti mendaki sebuah bukit di Negeri Sembilan sebagai program riadah untuk menjayakan gaya hidup sihat.

Biarpun ia tidak begitu tinggi berbanding gunung, namun cabaran dan keindahan alam yang terbentang amat memikat hati.

Sungguhpun badan terasa sakit-sakit ekoran aktiviti tersebut, namun ia seolah-olah menjadi pembakar semangat untuk meneruskannya apabila ada kesempatan.

Benarlah kata seorang sahabat yang merupakan pendaki tegar sebelum ini. Selepas pertama kali mendaki dan badan sakit-sakit untuk beberapa hari mungkin terlintas dalam fikiran kita untuk tidak meneruskannya. Namun selepas kesakitan hilang, timbul rasa ketagih ingin meneruskan aktiviti sihat itu.

Sebenarnya selepas melakukan aktiviti men­daki, barulah penulis mengerti kenapa ramai pendaki susah untuk meninggalkannya seolah-olah sudah sebati dalam darah daging mereka.

Sungguhpun banyak cabaran yang perlu ditempuhi sepanjang pendakian seperti permukaan curam, jalan berbatu-batu dan sebagainya, semua kepayahan tersebut seolah-olah hilang selepas tiba ke puncak serta melihat keindahan alam ciptaan Tuhan.

Perasaan setelah sampai ke puncak sememangnya sukar untuk digambarkan, terasa bebas dan amat puas.

Kita pasti lupa seketika dengan kesukaran sebelum mendaki, lebih-lebih apabila melalui kawasan air terjun yang kelihatan begitu tenang dengan keindahan flora dan faunanya, selain melihat hamparan luas bumi dari tempat tinggi.

Perkara yang paling utama ketika mendaki adalah mendapat rakan baharu daripada pelbagai lapisan masyarakat ‘diikat’ dengan minat yang sama.

Tidak ada perasaan meninggi diri biarpun seseorang itu berpangkat dan berjawatan tinggi. Semuanya sama taraf dan mempunyai keinginan serupa iaitu ingin sampai ke puncak.

Ada juga yang bertemu jodoh ketika mendaki dan ini adalah sesuatu yang baik memandangkan pasangan tersebut berkongsi minat sama dan tidak perlu bergaduh jika salah seorang daripada mereka meneruskan aktiviti lasak itu.

Apapun, aktiviti mendaki sememangnya terbukti dapat menyihatkan badan, menguatkan stamina dan otot selain melancarkan perjalanan darah serta menyihatkan jantung.

Jika anda ingin sentiasa sihat, aktiviti mendaki adalah salah satu pilihan yang perlu dilakukan. Ini adalah kerana walaupun selepas pulang daripada melakukan aktiviti berkenaan boleh dikatakan seluruh anggota badan akan berasa sakit-sakit, sengal dan lenguh namun apa yang lebih penting ialah kepuasan serta pengalaman yang diperoleh.