Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud itu  meminta kita ditegah daripada menyusahkan orang lain, jika kita tidak mahu orang lain menyusahkan diri kita sendiri. Lumrahnya, menyusahkan orang lain memang dibenci oleh masyarakat umumnya. Allah sendiri sangat murka ter­hadap orang yang sedemikian.

Sebaliknya kita dituntut untuk berbuat baik dan menyenangkan atau memberi kelegaan kepada orang lain. Seseorang dipandang mulia jika ikhlas bersikap ringan tulang untuk membantu orang yang memerlukan, menceriakan  orang miskin, menge­nyangkan golongan yang lapar, berbuat baik sesama jiran dan me­ngutip sampah di kaki lima.

Tidak mengapa jika setiap kebaikan yang dibuat tidak diketahui atau dipedulikan oleh orang lain, asalkan semuanya mampu membuat dunia lebih aman dan menyenangkan untuk didiami. Percayalah budi yang baik selain dikenang akan dibalas jua akhir­nya dalam pelbagai bentuk.

Perangai buruk membuang barang atau sampah sarap ke bawah di kediaman tinggi se­perti flat bukan perkara ba­haru. Tiada siapa yang menyukai­nya melainkan orang  atau kelompok yang melakukannya. 

Walaupun kesan dan keburukan mengenainya telah pun menjadi kempen di media-­media cetak dan elektronik sejak sekian lama, ia kembali heboh baru-baru ini apabila seorang budak maut  terkena kerusi buruk yang dibuang dari ‘langit’.

Ia dicampak dari entah tingkat ke berapa sebuah rumah projek perumahan rakyat (PPR)  di Kuala Lumpur yang mencerminkan betapa buruk­nya pera­ngai segelintir orang yang men­diami kediaman sedemikian.

Sehingga kini pun individu atau orang-orang yang bertanggungjawab masih belum ada yang ditangkap. Bukan mudah untuk mengenal pasti dari mana datangnya ‘kerusi’ yang terbang dari bangunan yang bertingkat-tingkat itu.

Bukan sesuatu yang asing mengenai gejala dan perangai buruk kala­ngan sebilangan penduduk di PPR. Penduduk yang memiliki sikap atau kesedaran yang tinggi sudah pasti tidak akan menjadikan kawasan PPR menjadi tempat longgokan sampah sarap atau perabot lama, dinding yang dipenuhi gejala grafiti atau menjadikan ruang balkoni sebagai tempat letak motosikal sekali pun.

Bukan semua, tetapi warga PPR yang memiliki mulut yang cabul dan gemar me­maki hamun juga bukan sedikit sehinggakan gejala pergaduhan antara­ penduduk bukan sesuatu­ yang asing.

Demikianlah gambaran di hampir kebanyakan PPR yang kebanyakannya ada kaitan de­ngan latar belakang penghuni­nya sendiri yang merupakan bekas penduduk setinggan, latar belakang  ekonomi yang berbeza-beza dan taraf menta­liti serta kesedaran sivik yang rendah.

Tidak dinafikan budaya buruk ketika tinggal di perkampungan setinggan sukar ditinggalkan sehingga terbawa-bawa di PPR. Kematian budak tersebut akibat ditimpa kerusi ha­nyalah contoh kecil masalah sosial di kediaman berkenaan. 

Justeru, apa yang boleh kita lakukan untuk menghilangkan gejala dan mentaliti buruk di PPR ini. Tidak banyak yang boleh dilakukan melainkan  setiap individu penghuni PPR itu kembali kepada apa yang tersirat pada hadis di atas.

Kalau golongan tersebut tidak mahu dibenci atau membenci, perbaikilah diri dan sikap masing-­masing dengan melihat serta memahami contoh-contoh terbaik di sekeli­ling mereka.  Hidup jangan menyusahkan melainkan memberi kesenangan kepada orang lain. Kehidupan akan lebih aman dan harmoni. 

Sesama kita – Kerja-kerja pemasangan jaring yang sedang dijalankan untuk ke­selamatan penghuni PPR memang dialu-alukan. Menurut laporan, ia membabitkan 494 blok PPR melibatkan kira-kira 80,000 unit rumah. Kosnya memang tinggi kerana ia membabitkan PPR yang banyak.

Percayalah, penghuni PPR yang kosong hatinya tetap sukar berubah perangai buruk. Apa sahaja yang boleh dibaling ke bawah akan tetap dicampak tanpa mengira kesannya walaupun disambut oleh jaring-jaring berkenaan.
Bagaimanapun bukan sedikit yang berhati mulia dan memiliki kehendak yang tinggi menjadikan rumah PPR tempat tinggal yang selesa didiami. Kumpulan inilah, bukan kerajaan atau pengurusan PPR, yang mampu mengembalikan nafas keselesaan kehidupan di kediaman berkenaan.