Jika berduit dan boleh lolos atau ‘cuti rehat’ daripada tanggungjawab mengelek anak pagi petang setiap hari, pergilah keluar atau melancong bersama kawan-kawan. Lebih beruntung lagi jika retorik manja anda berjaya memukau keizinan suami. Lega!

Jika suami boleh keluar bekerja berhari-hari atas alasan menjalankan tugas mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak, isteri juga boleh melakukan perkara sama.

Alangkah bagusnya jika pasangan berkerjaya yang masing-masing ada ijazah, diploma atau sijil akademik dapat menetapkan situasi menang-menang dengan cara tanpa menidakkan kebajikan emosi antara satu sama lain. Soal kerukunan rumah tangga dan keharmonian hubungan suami isteri, itu urusan peribadi, pandai-pandailah menguruskannya.

Jika begitu, bukankah kegembiraan itu cukup mudah dan berbunyi enteng, namun hakikatnya sukar sekali kerana setiap manusia mempunyai masalah, latar belakang dan emosi yang cukup variasi dan kompleks untuk ditangani.

Penulis sebenarnya beremosi dengan kisah seorang wanita muda bergelar ustazah, Nur Farhana Ibrahim yang boleh tersasar radar, tidak pulang ke rumah, tidak juga berada di tempat kerja, bahkan tidak juga keluar bersama rakan-rakan selama empat hari. Pemeriksaan awal polis mendapati semua barangan peribadi Nur Farhana seperti beg duit dan kunci kereta berada di atas mejanya di bilik guru sekolah tempatnya mengajar.

Menurut laporan media, suami wanita itu ada memaklumkan bahawa sekitar lima tahun lalu isterinya pernah menerima rawatan kerana sering berulang alik dari kediamannya di Alor Setar, Kedah ke Balik Pulau, Pulau Pinang. Dia bahkan dilihat menangis ketika menidurkan anak pada malam 13 Januari sebelum kali terakhir dilihat di pekarangan Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau, Pulau Pinang (tempatnya mengajar) pada 14 Januari lalu sebelum hilang berhari-hari.

Suaminya, Muhammad Naim percaya kehilangan si isteri bukan berpunca daripada masalah keluarga memandangkan hubungan mereka tidak bermasalah. Pada hemat Naim, masalah utama si isteri mungkin berpunca daripada kegagalan permohonan pertukaran tempat kerja. Sejak beberapa tahun lalu, difahamkan beliau pernah mengalami simptom tekanan serius dan masih menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di Alor Setar. Alhamdulillah. Nur Farhana kini sudah ditemui selamat.

Dalam kes Nur Farhana, sesiapa pun tidak layak untuk membuat justifikasi. Setiap orang ada masalah peribadi dan penyelesaian kendiri. Bayangkan bagaimana seorang ustazah yang mempunyai didikan agama dan mengajar agama itu bergelut serta bersabar dengan masalah hidupnya saban hari berganti tahun. Bayangkan pula, bagaimana jika permasalahan sama terpaksa dihadapi orang yang tiada didikan agama dan tiada komitmen anak serta keluarga. Tentu lain pula impak yang berlaku.

Berdepan sakit emosi ialah perkara tidak boleh dijangka. Penyelesaiannya pula tidak semudah menelan pil Chi Kit Teck Aun untuk mengatasi masalah sakit perut. Sebagai wanita yang telah berjaya mengharungi tempoh empat dekad dengan serba sederhana, kejahilan iman dan kemiskinan harta, yang ada sekadar cukup makan pakai hari ini dan esok, penulis percayakan senjata untuk melawan banyak bahana dunia dan tekanan hidup bertubi-tubi ialah semangat serta sedikit perasaan mementingkan diri.

Setiap insan berhak untuk hidup gembira. Selain membahagiakan keluarga, memenuhi komitmen kerja dan tanggungjawab sosial, wanita juga harus menyayangi diri sendiri dan berseronok seadanya dalam acuan sepatutnya. Sebelum berasa lelah, sukar dan kalah, cuba ingat ada ramai lagi insan yang lebih susah hidupnya berbanding kita. Mungkin itu sedikit melegakan.

Wanita bekerjaya tidak akan lari daripada tekanan, bebanan kerja dan komitmen terhadap keluarga tidak akan habis selagi belum mati, tetapi kita juga ada tanggungjawab terhadap diri sendiri. Ambillah masa untuk menenangkan diri, jaga kesihatan dan kecantikan diri kerana tidak akan ada orang lain boleh membantu kita bangkit ketika lemah, kecuali diri sendiri.