Kesungguhan remaja itu ternyata berbaloi apabila beliau berjaya menerima keputusan dua A+ dan empat A dalam keputusan SPM yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat itu juga tidak menyangka akan menerima keputusan baik tersebut kerana tidak pernah mengikuti sebarang kelas tambahan berbayar seperti rakan-rakannya yang lain kerana kesempitan hidup.

"Keluarga saya susah, jadi saya tak mampu untuk pergi ke mana-mana kelas tusyen, saya hanya mengulangkaji sendiri di rumah dan kadang kala ke kelas tambahan yang diadakan cikgu selepas waktu sekolah,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Anak kedua daripada lima adik beradik itu bercadang untuk menyambung pelajaran di Tingkatan 6 dan bercita-cita untuk menjadi arkitek pada masa hadapan. 

"Saya menyimpan impian untuk ke menara gading. Suatu hari saya ingin menjadi seorang arkitek. 

“Saya tidak pernah kesal dilahirkan dalam keluarga susah, kerana dengan pelajaran saya mampu dapat mengubah kehidupan kami sekeluarga dan mengubah nasib adik-adik saya yang masih kecil,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Mohd. Faizal Daud, 44, yang merupakan seorang buruh berkata, anaknya itu tidak pernah menunjukkan peningkatan secara mendadak dalam pembelajaran, malah dia hanya menduduki kelas keenam dari sembilan buah kelas di sekolahnya. 

"Dia seorang yang gigih dan rajin, walau terpaksa belajar dalam keadaan yang serba kekurangan.  Kadang kala  dia terpaksa membantu saya membuat kerja-kerja buruh bagi menambah pendapatan keluarga.

“Tidak pernah sekalipun dia mengeluh, malah kekurangan inilah yang membuatkan dia terus berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya. -K! ONLINE.