Anggota Exco bagi Kesihatan Negeri, Low Chee Leong berkata, langkah berkenaan perlu dilakukan pada semua peralatan atau taman permainan yang sering digunakan atau terdedah kepada orang awam khususnya kanak-kanak.

Beliau berkata, satu pasukan khas juga telah diwujudkan bagi memantau arahan disinfeksi berkenaan agar ia dipatuhi dan dilaksanakan segera.

"Selain itu, latihan pencegahan dan tunjuk ajar cara disinfeksi akan dilakukan.  

"Setakat ini sebanyak 1,522 kes jangkitan HFMD telah direkodkan di negeri ini,"  katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, sehingga kini empat kes wabak HFMD melibatkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika), satu kes terbaharu dilaporkan di sebuah taska di Alor Gajah yang diarahkan tutup pada 25 Julai.

Katanya, sehubungan itu semua pihak khususnya pengusaha taska dan tabika serta ibu bapa perlu peka dengan situasi semasa jangkitan berkenaan dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mengelak anak mereka dijangkiti wabak tersebut. - Bernama