Katanya, meskipun HFMD ini merupakan penyakit jangkitan ringan, namun risikonya tinggi sekiranya  tidak dirawat lebih awal.

"Jangkitan virus khususnya Enterovirus 71 (EV71), kemungkinan akan ada komplikasi seperti dehidrasi, radang otak, kegagalan jantung dan paru-paru dan akhirnya menyebabkan kematian. Itu yang kita risau sebab majoriti kes HFMD tahun ini disebabkan EV71 sememangnya boleh menyebabkan  komplikasi.

Pada tahun 2015 dan 2016, virus Coxsackie A16 dikenal pasti sebagai penyebab utama berlaku HFMD. Namun berdasarkan pemantauan sampel tahun ini, lebih 50 peratus daripadanya (kes) disebabkan EV71  apabila kanak-kanak yang dijangkiti tidak mempunyai daya ketahanan terhadap virus tersebut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Norita berkata, penyakit ini boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira umur, namun kebiasaannya  hampir 90 peratus kes HFMD melibatkan golongan kanak-kanak bawah lima tahun. - Bernama