Ini semua dilakukan untuk memudahkan pengguna mengetahui produk terbaharu keluaran sesebuah syarikat dan lokasi untuk mendapatkannya.

Bagaimanapun, terdapat segelintir peniaga yang tidak bertindak jujur dalam mempromosikan produk keluaran mereka dengan mengeluarkan iklan yang mengelirukan pengguna.

Taktik ‘tidak sihat’ itu dikesan penulis ketika berkunjung ke pulau legenda Langkawi baru-baru ini melibatkan produk yang cukup sinonim dengan tempat tersebut.

Tidak sah datang ke sana jika tidak membawa pulang produk itu sebagai cenderamata dan simpanan peribadi untuk digunakan sebagai ubat untuk merawat luka-luka kecil.

Ketika dalam perjalanan untuk bersarapan di salah satu lokasi tersohor di sana, mata penulis terpaut pada iklan produk itu yang digantung sepanjang laluan.

Apa yang menarik, produk itu dijual pada harga yang amat murah bagi pembelian 12 botol jika dibandingkan jualan produk sama oleh pengusaha lain.

Namun semua itu hanya gimik semata-mata bagi menarik pelanggan singgah di premis perniagaan mereka.

Alangkah hampa dan terasa diri ‘diperdaya’ selepas singgah di kedai tersebut, penulis dimaklumkan harga istimewa itu hanya ‘terpakai’ jika pelanggan membeli produk lain pada harga tertentu.

Jika tidak, harga untuk 12 botol produk tersebut sama dengan tempat-tempat lain. Mahu tidak mahu terpaksa beli juga kerana sudah singgah.

Itu yang sebenarnya yang dimahukan peniaga kerana mereka tahu pelanggan tidak mempunyai pilihan selain membeli produk itu dan barangan lain jika sudah sampai di kedai.

Nasib baik pada waktu itu penulis dalam perjalanan ke kedai makan yang terletak berhampiran dengan kedai menjual produk berkenaan.

Bagaimana jika pelanggan yang datang dari pekan Kuah yang mengambil masa hampir 20 minit semata-mata terpedaya dengan iklan tersebut sedangkan mereka boleh membelinya pada harga sama di tempat lain.

Nasihat penulis kepada peniaga yang boleh dikategorikan ‘tidak jujur’ seperti ini, hentikanlah menggantung iklan yang mengelirukan kerana ia menyusahkan orang ramai.

Selain itu, tindakan tidak bermaruah ini boleh mencemar imej Pulau Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan di negara ini.

Jadilah peniaga yang berhemah dalam mencari rezeki agar ia lebih mendapat keberkatan daripada Yang Maha Esa.