Beliau berkata, kejadian banjir yang sering berlaku di daerah ini merupakan kesan daripada aktiviti pembalakan dahulu di Keningau.

"Ini (kesan pembalakan) salah satu sebab kejadian banjir kerana air hujan mengalir dari Tambunan (di Keningau) menyebabkan air bertakung di Penampang.

"Bagaimanapun, saya minta agar pihak Jabatan Kerja Raya melawat kawasan ini jika satu mitigasi banjir diperlukan dan boleh mempercepatkan masalah banjir di Penampang selesai," katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Operasi Banjir Penampang di sini hari ini.

Di samping itu, Mohd. Shafie juga berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Meteorologi penting bagi membolehkan tindakan segera dapat dilakukan untuk memindahkan penduduk dari kawasan yang dikhuatiri dilanda banjir.

Sebanyak 14 kampung di Penampang  terjejas banjir akibat hujan lebat sejak Khamis lepas dan beberapa lagi kawasan di pantai barat Sabah termasuk Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Putatan dan Kota Belud turut dilanda bencana itu. - Bernama