Dalam operasi selama tujuh jam bermula pukul 4.30 petang itu berjaya menahan seramai 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 17 hingga 43 tahun di daerah ini, Subang Jaya dan Klang.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, serbuan melibatkan kedai gunting rambut, restoran, pasar raya, premis urut dan penempatan penduduk susulan aduan orang awam mengenai lambakan warga asing.

"Semasa serbuan dilakukan didapati ada antara mereka cuba melarikan dan bersembunyi di balik pintu premis bagi dicekup pihaknya.

"Ada juga PATI mendakwa bukan bekerja di lokasi dan cubaan meloloskan diri dengan membuat helah dokumen berada pada agen untuk lanjutan pas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan daripada 73 individu mendapati 43 merupakan PATI yang telah berada di negara ini di antara dua bulan hingga setahun.

Jelas Mohamad Shukri, mereka terdiri daripada 13 warga India, Indonesia (11), Myanmar (10), Bangladesh (5) dan masing-masing dua bagi warga Pakistan dan Vietnam.

"Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke pejabat Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan  Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya. - K! ONLINE