Tempoh giliran menunggu mencecah 116 tahun menyebabkan ramai yang sentiasa berharap nama mereka tersenarai setiap kali tiba musimnya.

Setelah melepasi cabaran getir seperti menyimpan wang dan tempoh penggiliran bertahun lamanya, antara ujian terbesar dalam kembara spiritual ini adalah sikap atau akhlak kita. Ia adalah cerminan hati seseorang.

Meskipun jemaah haji Malaysia terkenal dengan disiplin yang tinggi dan dianggap terbaik di mata kerajaan Arab Saudi, realitinya ada banyak lompong yang perlu diperbaiki.

Hasil pemerhatian penulis ketika menunaikan ibadah haji dua tahun lalu masih ramai yang terbawa-bawa sifat mazmumah seperti kurang sabar, sombong dan pentingkan diri. Ia merupakan satu bentuk ujian.

Ada segelintir jemaah sama ada terlupa atau buat-buat lupa dengan pesanan-pesanan yang dititipkan berulang kali oleh para pembimbing haji melalui kursus-kursus haji yang dijalankan.

Penulis teringat perbualan seorang jemaah haji memberi­tahu rakan-rakannya bahawa dia menggunakan emosi ama­rahnya dengan mengherdik petugas Tabung Haji (TH) ketika proses daftar masuk sebelum berlepas ke Tanah Suci.

“Lambat sangat. Sudah berapa jam kita menunggu, ada saja masalah. Kalau kita tidak buat begitu, mereka tak layan, jadi aku tinggikan suara, barulah mereka bertindak,” kata jemaah lelaki yang berumur dalam lingkungan lebih separuh abad itu dengan bangga tanpa cuba memahami situasi yang berlaku. Ia bukanlah contoh yang baik untuk dikongsikan kerana semua jemaah sudah dimaklumkan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku bermula dari proses daftar masuk hinggalah pulang ke tanah air.

Dengan jumlah hampir 500 jemaah haji bagi setiap penerbangan tidak mustahil banyak urusan tergendala tanpa disengajakan.

Apatah lagi, sebilangan besar jemaah haji merupakan golongan warga emas. Setiba di Tanah Suci, lain pula ceritanya. Ada yang tidak kisah memotong barisan ketika menaiki bas untuk program ziarah dengan menolak jemaah lain hingga ada pasa­ngan suami isteri terpisah demi untuk memberi laluan kepada jemaah yang berebut tadi.

Paling menjengkelkan ialah mereka yang tebal muka dan te­linga melanggar arahan la­rangan merokok. Mereka de­ngan selamba merokok di dalam bilik, lobi, ruang legar dan kawasan rehat hotel tanpa rasa bersalah seolah-olah mereka­ bukan berada di Tanah Suci.

Poster larangan merokok yang ditampal di lobi, setiap lantai dan lif hotel dipandang sepi. Ia bukan saja menimbulkan rasa tidak selesa kepada jemaah lain ekoran pencemaran udara di kawasan tertutup bahkan memudaratkan penghidap asma lebih-lebih lagi dalam kalangan warga emas.

Kemuncak ibadah di Arafah, Mudzalifah dan Mina (Masya’ir) antara tempoh pa­ling kritikal sepanjang berada di Tanah Suci. Cuaca panas menyebabkan jemaah mudah panas hati andai gagal mengawal emosi. Petak kecil di Arafah atau khemah sederhana di Mina yang menjadi penempatan sementara jemaah haji se­ringkali menimbulkan ‘perang mulut’ antara jemaah haji.

Begitu juga ketika me­lontar jamrah, jangan sesekali memandai-mandai mengatur masa sendiri selain daripada yang disarankan oleh pihak TH.

Sebabnya, memang ada jemaah yang gemar mendapat khidmat nasihat daripada mereka yang tidak bertauliah. Apabila tersesat di laluan yang berbeza, pihak bertanggungjawab juga yang menanggung akibatnya dengan misi mencari jemaah. Sebenarnya semua contoh tingkah laku ini bukan saja mengganggu keharmonian antara jemaah bahkan menyusahkan banyak pihak. Walau jemaah haji dianggap tetamu Allah, kita sebenarnya masih terikat dengan etika, per­aturan dan adab. Ketepikan impian untuk mendapat layanan lima bintang sepanjang berada di Tanah Suci dengan harapan semuanya sempurna dan tersedia di depan mata walau banyak mana pun kos yang dihabiskan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Bak pesanan seorang pembimbing haji, apabila menunaikan haji ia bukan apa yang kita jangkakan, tetapi apa yang Allah ingin berikan. Justeru, berlapang dadalah berdepan dengan apa juga ujian kerana ia mungkin salah satu cara Allah mahu membersihkan dosa dan me­ngangkat darjat kita di sisi-Nya.