Pada majlis itu, penduduk bergotong-royong menyediakan lauk kari kambing bagi meraikan kelahiran dua bayi lelaki ahli keluarga sebelah isteri saya baru-baru ini. Empat ekor kambing disembelih dan dilapah beramai-ramai untuk menjamu kira-kira 300 jemputan.

Apa yang menarik, di kampung itu semangat merewang masih me­nebal dalam kalangan penduduknya. Tiada bayaran dikenakan kecuali sekadar memberi upah kepada ke­tua tukang masak.

Ketika kami sedang asyik memotong daging, Tok Surin meminta keluar sebentar dan memberitahu yang dia ingin ke kedai membeli rokok. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 8 pagi sedangkan kenduri akan mula tiga jam lagi. Rupa-rupanya, kami sudah terlupa untuk memberi rokok penanggah yang selalunya dihadiahkan oleh tuan rumah.

Kami sangat risau sekiranya dia merajuk atau terasa hati kerana dia menghilang selama hampir 45 minit sedangkan kedai yang dimaksudkan hanya terletak kira-kira 5 kilometer dari rumah kami. Lauk pun masih belum masak. Hari makin lama makin meninggi.

“Ah sudah. Tok Surin dah merajuk sebab kita lupa rokok dia. Nah ambil duit ni dengan pantas pergi beli dua kotak Winston Light,” kata seorang biras saya kepada salah seorang anak buah.

Kerisauan kami akhirnya hilang sebaik melihat kelibat Tok Surin datang de­ngan senyuman.

“Ingatkan Tok merajuk tadi sebab kami lupa rokok penanggah,” kata biras tadi sambil menyelitkan rokok Winston Light ke dalam poket seluarnya. Tok Surin hanya tersengih.

Maka bermulalah kerja-kerja menumis rempah ratus untuk memasak kari kambing. Arahan demi arahan diberikan oleh Tok Surin kepada ‘orang pangka’ (gelaran kepada orang dapur yang bermaksud orang pangkal) sambil tangannya ligat mengacau segala ramuan yang dima­sukkan ke dalam kawah.

Satu bagusnya Tok Surin ialah dia tidak lokek ilmu. Walaupun mata menahan pedih asap, dia masih boleh berjenaka sambil memberikan tip-tip untuk menjadikan masakan lebih sedap.

“Kalau hendak hilangkan bau hamis kambing, saya akan masukkan daun pandan dan akarnya bertujuan menjadikan daging kambing lembut,” katanya.

Tok Surin sering mendapat jemputan memasak untuk majlis perkahwinan di kampung itu dan selalu ‘out station’ bagi memenuhi permintaan tuan rumah di luar daerah Rembau.

“Santan pula perlu dimasukkan selepas daging empuk dan dikacau sehingga pecah lemak. Kejap lagi kita akan tahu sama ada lauk ini sedap atau tidak dengan melihat berat atau ringannya plastik sampah,” katanya.

Benar. Lauk kari kambing air tangan Tok Surin licin pada hari itu. Dua kawah habis dalam tempoh empat jam. Ketika melirik kepada tetamu yang datang, saya perhatikan mereka bukan sahaja meletakkan lauk kari kambing dengan nasi malah, ada yang mengambil daging kambing semata-mata untuk diratah. Begitu hebatnya penangan air tangan Tok Surin.

Namun, semangat sebegini seakan luntur dalam diri masyarakat kita. Kebanyak­an kita lebih gemar me­nempah daripada pihak ketering untuk memudahkan kerja. Hanya perlu sediakan duit.

Kadangkala, senda gurau dan jenaka spontan ketika merewang tanpa di­sedari dapat merapatkan lagi hubungan jiran tetangga. Namun, kita sering lupa untuk mengekalkannya.