Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh berkata, cadangan itu dibuat bagi menghargai usaha wartawan yang turut terlibat dalam pembangunan dan hala tuju negara.

"Diharap Hawana akan dijadikan acara media terpenting setiap tahun seperti profesion lain, memandangkan wartawan juga memainkan peranan penting dalam membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat melalui penulisan berita beretika.

"Malah penganjuran Hawana ini juga dapat mengangkat profesionalisme wartawan yang mempunyai majikan dan bekerja secara sepenuh masa untuk membela bangsa dan membina negara," katanya ketika berucap sempena Wacana Hari Wartawan Nasional di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berharap Hawana yang julung-julung kali dianjurkan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Katanya, cadangan penubuhan badan itu telah lama diperjuangkan warga media tempatan, namun hingga kini masih belum menjadi kenyataan.

Badan itu dicadang antara lain bagi mengambil tindakan bagi kes-kes kecil melibatkan media jika aduan diterima manakala bagi aduan lebih serius, ia dibawa ke mahkamah. - Bernama