Selepas lama berborak, dia mula bercerita mengenai kisah penyakit yang dideritai ibu dan ibu saudaranya. Katanya, kedua-dua wanita itu telah disahkan menghidap kanser payudara.

Ketika pihak hospital mula-mula mengesan penyakit itu, mereka mendapati tahap kanser payudara yang dideritai ibu dan ibu saudaranya pada waktu itu ialah pada tahap dua iaitu masih ada kesempatan dan ruang untuk dirawat dan disembuhkan.

Ekoran itu, pihak hospital dikatakan telah mencadangkan kepada kedua-dua pesakit itu supaya melakukan pembedahan untuk membuang bahagian payudara yang diserang kanser tersebut dan cerita sahabat saya itu lagi, ibunya telah menyatakan persetujuan untuk melakukan pembedahan seperti yang dicadangkan itu.

Selepas menjalani beberapa prosedur yang telah diatur oleh pihak hospital, maka ibu kepada sahabat saya itu akhirnya selamat menjalani pembedahan tersebut dan dengan kuasa Allah, dia diberi kesihatan yang baik sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, ibu saudaranya pula didakwa mengambil keputusan untuk tidak melakukan tindakan yang sama, sebaliknya dia mengambil keputusan untuk berubat mengikut cara tradi­sional selepas terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu yang kononnya mampu menyembuhkan penyakit yang dideritainya itu.

Namun, selepas menjalani ra­watan itu, penyakit yang dide­ritai oleh ibu saudaranya itu tidak juga sembuh, malahan keadaannya bertambah teruk sehingga dia akhirnya terpaksa dirujuk ke hospital untuk merawat pende­ritaan yang dialaminya itu.

Bagaimanapun, mungkin oleh kerana lambat bertindak, kanser payudara yang dialaminya dikatakan telah merebak dan sudah berada pada tahap empat. 

Takdir Allah, dia akhirnya meninggal dunia tidak lama selepas itu ekoran para doktor yang merawatnya sudah tidak berdaya untuk melakukan apa-apa lagi.

Sebenarnya, bukanlah niat saya untuk menyalahkan mana-mana pihak di atas apa yang berlaku, cuma sekadar ingin melahirkan rasa sedikit terkilan dengan segelintir daripada kita yang sanggup memberi harapan palsu kepada mereka yang berada dalam keadaan terdesak untuk berubat.

Apa yang menimpa sahabat saya itu sebenarnya bukanlah satu-satunya kes yang berlaku di negara kita ini. Banyak lagi kes yang seumpama itu terjadi di sana sini dan keadaan itulah yang menggusarkan masyarakat.

Lebih-lebih lagi kepada mereka yang suka berubat dengan cara berjumpa bomoh.

Sejujurnya saya bukanlah seorang yang arif dalam bidang ini, namun setelah melihat apa yang berlaku di sekeliling kita, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan amalan segelintir masyarakat ini yang lebih gemar berubat dengan cara tersebut.

Lebih malang, ada segelintir pihak yang sebenarnya hanya ingin mengambil kesempatan de­ngan menipu mereka yang berada dalam terdesak. Untuk meya­kinkan orang ramai, mereka yang terbabit ini sanggup berlagak kononnya seperti ustaz atau seorang yang alim untuk memperdaya mangsa-mangsa mereka demi sedikit habuan.

Memang benar sudah tidak ramai dalam kalangan masyarakat kita kini yang pergi berubat de­ngan bomoh-bomoh ini, namun ia masih berlaku dan sesuatu harus dilakukan untuk mencegah amalan ini daripada berterusan.

Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya memberi nasihat atau panda­ngan yang betul kepada pesakit yang ingin mendapatkan rawatan dengan meminta mereka pergi ke hospital untuk dirawat oleh doktor-doktor yang diiktiraf dan bukannya mencadangkan mereka pergi berubat ke tempat-tempat yang kita sendiri tidak tahu kesahihannya.

Kalau kita tengok di grup-grup WhatsApp, misalnya, banyak maklumat yang disebar oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengenai tempat-tempat yang kononnya mampu mengubati pelbagai penyakit kritikal. 

Bagi mereka yang berada dalam keadaan terdesak sudah tentu akan terpengaruh kerana mereka akan berusaha untuk melakukan apa sahaja bagi menyembuhkan penyakit yang dideritai sedangkan ia mungkin hanyalah satu penipuan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meraih sedikit habuan dengan cara menipu.

Saya bukanlah bermaksud untuk menolak rawatan alternatif, cuma yang ingin ditegaskan di sini ialah supaya masyarakat lebih berhati-hati dengan pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh ini demi kebaikan bersama.