Petang tadi, Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan 'Tok Mat' dalam kalangan penduduk negeri ini meluangkan masa melawat pesakit berkenaan, Siti Nurul Hidayah Mohd. Sofi, 20, di hospital tersebut.

Remaja berkenaan terlantar akibat penyakit saraf dikenali sebagai Cervical Cord Myelopathy yang kritikal selepas terjatuh di dalam bilik air pada tahun 2005 ketika berusia enam tahun.

Menurut ibunya, Dayang Lohani Awang Zain, 51, anaknya itu telah lama menyimpan hasrat untuk bertemu dengan Mohamad.

"Selalu dia sebut, nak jumpa Tok Mat setiap kali melihat video ucapan beliau terutama di televisyen. Tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk menunaikan hasratnya itu.

"Semalam, anggota veteran askar telah datang melawatnya dan telah merakam video anak saya menyatakan hasrat untuk jumpa Tok Mat dan tidak sangka hari ini Tok Mat datang.

"Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Tok Mat. Saya tahu anak saya gembira kerana tidak lekang senyumannya sejak bertemu Tok Mat tadi," ujarnya katanya yang terharu atas kesudian Mohamad singgah bertemu anaknya itu.

Mohamad yang baru selesai menghadiri program di Jempol mengambil kesempatan bertemu dengan remaja itu selama kira-kira 20 minit. - K! ONLINE