Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, peningkatan hasil sebanyak 13.7 peratus itu menunjukkan negeri ini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Belanjawan 2019.

"Dalam masa sama, Selangor telah mencatatkan aliran pelaburan tempatan dan luar negeri berjumlah RM18.947 billion.

"Peningkatan ini adalah sebanyak 238 peratus berbanding nilai pelaburan pada tahun 2017 iaitu RM5.592 billion. Ini merupakan jumlah pelaburan terbesar dalam sejarah negeri ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor di Seksyen 13 di sini malam ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kassim.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 masyarakat sekitar negeri ini.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan pentadbirannya akan memastikan program kepedulian rakyat dapat dilaksanakan dalam kerangka polisi yang mampan.

"Ini menjadi tanggungjawab kita untuk menterjemahkan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kepada sistem politik berasaskan nilai, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Justeru, kerajaan negeri berikhtiar untuk memperbaiki segala kekurangan agar sentiasa berada di tahap yang terbaik," katanya. - K! ONLINE