Penulis juga masih dapat membayangkan pe­rasaan tidak sabar untuk memakai pakaian baharu itu pada Aidil­adha tahun berkenaan. Itu adalah rutin dalam keluarga kami. Arwah ayah akan membelikan sembilan anak-anak­nya sepasang baju baharu setiap kali hari raya.

Untuk penulis, sepasang baju kurung pada Aidilfitri dan sepasang gaun untuk sambutan Aidiladha sehingga berusia 10 tahun. Selepas itu, gaun digantikan dengan baju kurung kerana usia yang menghampiri umur baligh.

Mungkin juga kerana hanya pada hari raya kami mendapat pakaian baharu selain seragam sekolah pada awal tahun, keseronokannya sangat terasa dan terkesan sehingga hari ini.

Walaupun arwah hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan tidak menentu, hari raya kami tetap disambut dengan pakaian baharu manakala ibu pula menjadi orang paling sibuk dan biasa­nya terpaksa bersengkang mata sehingga subuh untuk menyediakan juadah hari raya.

Nasi impit kuah kacang adalah hidangan wajib keluarga kami pada Aidilfitri dan Aidiladha selain ketupat daun palas yang sangat digemari cucu-cucunya.

Kami adik-beradik pula akan bergotong-royong membersihkan rumah, menukar langsir atau sarung kusyen supaya nampak lebih cantik untuk menerima kunjungan tetamu.

Bezanya kedua-dua sambutan itu hanya jumlah juadah pagi raya Aidil­adha disediakan kurang sedikit berbanding Aidilfitri kerana selepas ibadah korban dilakukan, tetamu akan dihidangkan dengan makanan tengah hari atau malam berlaukkan daging lembu atau kambing segar.

Bagaimanapun, sambutan Aidiladha penulis de­ngan beberapa rakan termasuk keluarga suami yang berasal dari Perak berbeza kerana suasananya hanya dirasai jika mereka mengikuti ibadah korban yang biasanya diadakan di surau atau masjid.

Jika tidak, ia hanya se­perti cuti umum biasa namun kesempatan itu turut digunakan untuk mengunjungi ahli keluarga kerana perayaan Aidiladha adalah salah satu daripada hari kelepasan am negara ini.

Tahun ini, tarikh pe­rayaan itu bersekali de­ngan cuti persekolahan selama seminggu. Sudah tentu masa itu boleh digunakan untuk merapatkan ukhwah bersama sanak-saudara serta rakan taulan.

Tidak kisahlah bagai­mana sambutan dilakukan, tetapi Hari Raya Aidiladha perlu disambut dengan meriah malah tanggal 10 Zulhijah mengikut sejarah Islam jauh lebih lama disyariatkan nabi terdahulu dibandingkan dengan Aidilfitri.

Memetik pendakwah santai, Abdul Halim Abdul Hafidz melalui laporan sebuah akhbar baru-baru ini, katanya, jika dilihat secara teliti, sambutan Aidiladha juga lebih besar kerana diiringi laungan takbir selama empat hari sedangkan Aidilfitri selama satu malam saja.

“Aidiladha disambut dengan ibadat besar, iaitu ibadat haji yang diwajibkan kepada semua umat Islam yang berkemam­puan. Malah ia bukan sekadar wajib, bahkan bersifat rukun.

“Sejarahnya juga jauh lebih lama kerana ia ke­sinambungan daripada syariat nabi terdahulu, iaitu­ Nabi Ibrahim AS ketika diperintahkan Allah SWT menyembelih anak­nya, Ismail AS,” katanya.

Selain itu katanya, Aidil­adha juga amat signifikan kerana ketika umat Islam daripada segenap pelosok dunia menunaikan ibadat haji, orang Islam di mana-mana pun melakukan ibadat sembelihan yang dapat mendorong kita berkongsi rezeki dengan agihan secara menyeluruh sama ada tergolong dalam kategori kaya atau miskin.