Katanya, pengisytiharan itu juga bertujuan menghargai sumbangan golongan professional teknikal dan kejuruteraan di seluruh negara, khususnya warga Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam meningkatkan pengetahuan dan menarik minat awam terhadap profesion teknikal.

"Profesion teknikal mewujudkan golongan profesional yang ditauliah berdasarkan kompetensi bidang teknikal masing-masing yang dapat memastikan produk pembangunan yang direkabentuk menepati aspek-aspek keselamatan, spesifikasi dan standard yang ditetapkan.

"Sambutan itu juga turut menyediakan platform kepada golongan ini untuk mengembangkan ilmu mereka serta membangunkan modal insan bagi menghadapi industri pembinaan dan teknikal yang lebih mencabar pada masa kini. 

"Justeru, semua kementerian dan agensi kerajaan yang mempunyai golongan profesion teknikal seperti jurutera, arkitek, juruukur bangunan dan juruteknik disarankan menyambut Hari Profesion Teknikal Negara dengan cara tersendiri setiap tahun," kata beliau dalam ucapan perasmian sambutan Hari Profesion Teknikal Negara di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akib dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Seri Dr Roslan Md Taha. - Bernama