Mangsa, Abdul Razak Said, 47, ketika itu dikatakan sedang mengambil upah mengait buah kelapa sawit di ladang tersebut sebelum mata sabit yang digunakan telah terjatuh dan tertikam betis kaki kanannya.

Akibat daripada itu, mangsa mengalami pendarahan yang teruk sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri.

Anak mangsa, Muhammad Akif, 15, yang ketika itu ada bersama mangsa kemudiannya bertindak menunggang motosikal untuk meminta bantuan daripada penduduk kampung.

Mangsa telah dihantar ke Klinik Kesihatan Maran dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda milik penduduk kampung, namun Abdul Razak disahkan meninggal dunia sebaik tiba di situ.

Penulis percaya kejadian yang menimpa Abdul Razak itu bukanlah kali pertama berlaku terhadap pekerja ladang kelapa sawit.

Malah, banyak lagi kejadian hampir serupa berlaku di rata-rata kawasan pertanian sama ada ladang kelapa sawit mahupun ladang getah di seluruh negara, cuma mungkin ia tidak dilaporkan di media.

Sebagai seorang anak peneroka Felda, penulis mengakui kerja-kerja di ladang khususnya kelapa sawit sememangnya berisiko tinggi dan sangat terdedah kepada kecederaan.

Sama ada risiko tercedera akibat terkena mata sabit, dihempap buah atau pelepah kelapa sawit yang sememangnya berduri, mahupun ancaman daripada binatang liar dan berbisa seperti babi hutan, harimau atau ular. Ia sememangnya menuntut sikap yang sangat berhati-hati dan berjaga-jaga ketika sedang bekerja di ladang.

Penulis sendiri pernah berhadapan dengan kemalangan dihempap pelepah kelapa sawit ketika mengambil upah bekerja di ladang suatu masa dahulu.

Mujurlah, kecederaan yang dialami tidak terlalu parah, cuma meninggalkan bekas luka akibat tercucuk duri yang jumlahnya agak banyak.

Itu belum dikira terserempak dengar ular sawa ataupun ular berbisa yang sedang melingkar di celahan pelepah kelapa sawit atau di timbunan pelepah kering yang tersusun di atas tanah.

Penulis juga percaya sebahagian besar peneroka Felda, Felcra ataupun pekebun kecil, mereka pernah berhadapan dengan situasi yang sama.

Namun apakan daya, disebabkan perlu mencari rezeki demi menyara keluarga, kerja-kerja tersebut terpaksa diteruskan walaupun masing-masing menyedari risiko yang menunggu di hadapan mereka.

Justeru, sebagai anak peneroka Felda, penulis ­ingin mengajak semua daripada kita untuk sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang telah bersusah payah menyabung nyawa setiap hari.

Jika tanpa penat lelah mereka, mungkin kita tidak dapat menikmati minyak kelapa sawit yang digunakan untuk memasak pada hari ini pada harga yang murah, ataupun kita mungkin terpaksa membayarnya pada harga yang tinggi disebabkan kerajaan terpaksa mengimport bahan masakan tersebut dari negara luar bagi menampung permintaan tinggi minyak kelapa sawit oleh pengguna tempatan.