Sejarah Hari Buruh bermula dengan sebuah pergerakan pada 1 Mei 1886 di Amerika Syarikat, yang mana agenda utamanya ialah pelaksanaan lapan jam bekerja, lapan jam beriadah dan lapan jam berehat berbanding sehingga 14 jam hari bekerja pada ketika itu. Sehingga 25,000 pekerja terlibat dalam gesaan tersebut.

Sementara itu, sambutan Hari Pekerja di negara ini bermula apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, ­Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, mengumumkan 1 Mei sebagai hari pelepasan am bagi pekerja pada awal tahun 1970-an. 

Beliau menyatakan keputusan itu dibuat dengan harapan pergerakan buruh akan menganggap 1 Mei sebagai satu hari dedikasi buat pekerja, sesuai dengan cita-cita kebangsaan.

Menghampiri lima dekad, Statistik Utama Tenaga Buruh Januari 2018 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan jumlah tenaga buruh di Malaysia kini seramai 15.19 juta, meningkat sebanyak 0.3 peratus daripada 15.15 juta pada Disember 2017.

Namun, jumlah yang bekerja adalah 14.67 juta sementara kadar pengangguran 3.4 peratus dengan 516,500 orang.

Selain itu, seramai 31.8 peratus atau 7.07 juta daripada penduduk umur bekerja, 15 hingga 64 tahun, berada di luar tenaga buruh. Mereka merupakan suri rumah, pelajar, pesara dan individu yang tidak berminat untuk be­kerja. 

Baru-baru ini saya berpeluang menggunakan per­khidmatan panggilan elektronik Grab, yang mana pemandu-pemandu terlibat datang daripada pelbagai latar belakang dan amat ramah untuk berbual ketika dalam perjalanan ke lokasi yang diingini.

Seorang pemandu wanita yang berusia awal 40-an baru sahaja menjadi pemandu perkhidmatan itu seminggu sebelum dan masih dalam fasa penyesuaian diri de­ngan sistem, jalan raya di ibu kota serta interaksi dengan orang lain di luar lingkungan individu biasa.

Bagi dirinya, desakan hidup telah memaksa beliau untuk memandu Grab memandangkan keadaan kesihatan tidak mengizinkannya bekerja di pejabat dan dengan empat orang anak untuk ditanggung, manakala terdapat seorang pemandu yang juga pekerja sebuah kilang pembuatan paip menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan kedua khasnya apabila hari cuti atau ketika terdapat masa terluang.

Terdapat seorang lagi pemandu yang menjadikan perkhidmatan itu sebagai pekerjaan tetapnya setelah keluar daripada sektor perkhidmatan automotif kira-kira empat bulan lalu. Menariknya, sungguhpun Grab membenarkan pemandu berkhidmat mengikut kehendak pemandu, tetapi lelaki ini menunjukkan daya usaha yang amat tinggi.

Beliau mempunyai disiplin dalam mengatur jadual hariannya, malah tempoh bekerja seperti pekerja biasa iaitu kira-kira 8 jam dengan menetapkan waktu makan dan rehat yang bersesuaian agar dapat berkhidmat de­ngan baik.

Seringkali kita merungut dan mendengar pelbagai rungutan tentang ketidakpuasan hati di tempat kerja.  

Walaupun adakalanya alasan yang diberikan boleh diterima, tetapi bagi saya, ketiga-tiga insan di atas telah membuka mata dan menunjukkan betapa pentingnya untuk memanfaatkan peluang yang ada demi survival masa depan.

Mereka cuba mengatasi halangan hidup sebaik mungkin dan berusaha untuk bangun kembali.

Semoga kita bersyukur dengan apa yang ada, cuba memperbaiki diri dan kemahiran agar dapat memberikan yang terbaik dalam hidup ini.