Kejadian yang tidak terduga itu memang agak menyedihkan lebih-lebih lagi ketika rakyat berbilang kaum di negara ini telah sekian lama menikmati suasana kehidupan yang harmoni dan bebas daripada sebarang syak wasangka.

Apa yang berlaku itu seharusnya segera ditangani secara bijaksana oleh pihak-pihak yang terlibat supaya aspek keselamatan dan keharmonian kaum yang dinikmati oleh seluruh masyarakat selama ini dapat terus dinikmati bukan sahaja untuk kita pada masa ini, malah sehingga ke generasi yang akan datang.

Pihak-pihak yang terlibat dalam kemelut yang timbul melibatkan isu Kuil Sri Maha Mariamman seharusnya bertenang serta bersedia duduk semeja untuk berunding dan menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi.

Pastinya tindakan secara kekerasan yang hanya mengikut emosi termasuk dengan mencederakan orang ramai, membakar kenderaan atau merosakkan bangunan tidak akan menyelesaikan sebarang permasalahan, malah ia sebenarnya hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Keadaan pastinya akan menjadi lebih buruk lebih-lebih lagi pada zaman dunia maklumat tanpa sempadan hari ini, kerana kejadian-kejadian yang berlaku itu mungkin akan di­sampaikan kepada pihak-pihak lain secara salah atau dalam bentuk provokasi yang mungkin boleh mencetuskan perbalahan yang lebih besar.

Malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam menegaskan, melalui kenyataan tidak tepat itu, ia bukan saja boleh mencetuskan suasana tegang dalam masyarakat, malah ia turut merumitkan tugas polis untuk melakukan proses siasatan.

Dalam hal ini, semua pihak seharusnya bertenang dan tidak menyebarkan sebarang bentuk maklumat yang tidak tepat atau maklumat-maklumat yang berbentuk provokasi yang mungkin boleh mencetuskan ketegangan dalam kala­ngan masyarakat.

Sehubungan itu, apa jua penyebaran maklumat provokasi khusus­nya melalui media sosial seharusnya segera disekat kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kaum yang dinikmati rakyat negara ini sejak sekian lama. Untuk itu, pihak berkuasa yang menangani kes di USJ 25 ini seharusnya bertindak tegas terhadap semua pihak yang terlibat supaya kes yang sama tidak akan berulang pada masa depan.

Tindakan tegas itu seharus­nya tidak hanya diambil terhadap mereka yang terlibat secara langsung dalam rusuhan tersebut, malah terhadap mereka yang cuba mencetuskan provokasi melalui penyebaran maklumat-maklumat yang tidak berasas.

Dalam hal ini, setinggi penghargaan harus diberi kepada pihak polis yang sebenarnya telah bertindak pantas dan memainkan peranan yang penting untuk mengawal keadaan de­ngan menahan pihak-pihak yang terlibat dalam rusuhan tempoh hari. Tindakan pantas pihak Polis Diraja Malaysia dalam menangani isu tersebut sebenar­nya telah berjaya mewujudkan keadaan yang kembali tenang dan diharap suasana itu akan terus berkekalan sampai bila-bila. Selain polis, pihak yang berpengaruh juga perlu menggunakan pengaruh mereka untuk membawa semua pihak yang bertelagah ke meja rundingan.

Walaupun insiden ini agak sensitif kerana ia melibatkan tempat ibadat bagi penganut Hindu, namun sudah pasti akan ada jalan penyelesaian terbaik yang boleh dilaksanakan tanpa perlu memilih untuk melakukan rusuhan sehingga menjejaskan banyak pihak.

Paling penting ketika ini ialah semua pihak khususnya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini perlulah menyemai semangat saling hormat-menghormati sesama mereka supaya kita dapat terus tinggal di negara ini dalam keadaan aman dan damai.

Dalam pada itu, kita juga berdoa supaya Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, seorang anggota bomba yang cedera dibelasah perusuh ketika cuba memadam kebakaran dalam insiden itu agar segera sembuh dan dapat menjalani tugas beliau seperti biasa.