Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, produk ikon Perlis itu mendapat permintaan tinggi walaupun musim tahun ini bermula Mei depan yang jatuh pada bulan Ramadan.

"Jabatan Pertanian negeri sedang melakukan persediaan rapi untuk memasarkan harumanis ke seluruh negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, peningkatan harga harumanis juga disebabkan oleh kos penjagaan rapi dan pengurusan bagi setiap sekilogram hasil yang boleh mencecah sehingga RM15.

"Harga jualan harumanis bagi musim ini dijangka sekitar RM30 hingga mencecah RM40 sekilogram berdasarkan permintaaan yang semakin meningkat dengan nilai jualan bagi tahun ini dianggarkan RM34.6 juta," ujarnya.

Menurut Hafizuddin, sambutan terhadap harumanis terus meningkat apabila terdapat lebih 10 syarikat yang sudah menyatakan minat untuk mengambil buah berkenaan untuk diedarkan di luar negeri ini.

"Penduduk negeri luar khususnya di sebelah selatan masih ramai yang tidak pernah mencuba harumanis dan atas faktor itu juga menyebabkan permintaan meningkat," katanya.

Katanya, keluasan tanaman mempelam harumanis pada tahun ini meningkat kepada 1287.4 hektar dan anggaran hasil yang direkodkan sehingga Mac lalu sebanyak 2,100 metrik tan.

"Beberapa faktor seperti kelekatan dan ketahanan buah selepas dibalut yang dipengaruhi perubahan cuaca serta perbezaan suhu siang dan malam menyebabkan jangkaan hasil menurun," katanya. - K! ONLINE