Terdahulu, pada aksi final pertama menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Selasa lalu, Malaysia gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk meraih bekalan selesa apabila sekadar seri 2-2 dengan skuad Naga Emas tersebut.

Bagaimanapun, skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe tidak seharusnya mengambil pusing kelebihan tipis jaringan di tempat lawan yang dimiliki pasukan Vietnam dan dibimbing oleh jurulatih Korea Selatan, Park Hang-seo kerana dalam tempoh 90 minit, apa-apa sahaja boleh berlaku.

Jika Malaysia mampu bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mengikat Vietnam 2-2, maka tidak mustahil buat skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi sama atau luar biasa di gelanggang lawan nanti meskipun Stadium Nasional My Dinh merekodkan sorakan paling bingit hingga mencecah 121.7 desibel.

Tidak dinafikan, Vietnam merupakan pasukan pilihan berdasarkan kelebihan dimiliki, namun cuaca cerah jangan disangka hingga ke petang kerana Harimau Malaya telah membuktikan mereka mampu bangkit untuk mencatatkan keputusan positif seperti dilakukan di Stadium Rajamangala, Bangkok apabila mengikat Thailand 2-2, sekali gus layak ke pentas final.

Apa yang penting, anak-anak buah Cheng Hoe perlu segera menyerap tekanan di tempat lawan selain kekal tenang berdepan provokasi pemain-pemain Vietnam yang dijangka gemar menggunakan taktikal permainan fizikal.

Vietnam sudah pasti mempunyai keyakinan tinggi untuk menewaskan Malaysia di depan 40,000 penyokong sendiri menerusi ketajaman jentera depan apabila melakukan serangan balas pantas di samping memiliki kubu yang ampuh diketuai Que Ngoc Hai dan Tran Dinh Trong.

Namun, Malaysia telah membuktikan bahawa jentera serangan diketuai Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak dengan dibantu Safawi Rasid, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamadou Sumareh berjaya merobek benteng Vietnam pada aksi final pertama di Bukit Jalil.

Malah, Hang-seo sendiri mengakui Harimau Malaya memiliki jentera serangan paling berbahaya dalam kalangan 10 negara yang bertanding pada Piala AFF Suzuki edisi ke-12 ini.

Harus diingatkan, skuad kendalian Hang-seo turut berbahaya di jentera serangan.

Malaysia mungkin boleh menarik nafas lega apabila benteng pertahanan skuad kebangsaan dijangka diperkuatkan semula dengan kehadiran Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Syazwan Andik.

Pada masa sama, peranan pemain tengah, Syamer Kutty Abba dan Akram Mahinan juga sangat getir untuk meminimumkan serangan lawan ke atas kubu negara terutamanya bagi menghalang pemain tengah Vietnam, Phan Van Duc.

Tugas yang paling utama terletak pada bahu Zaquan, Safawi, Sumareh dan Norshahrul untuk merobek gawang Vietnam meskipun hanya satu gol malam ini, ia akan menjulang Harimau Malaya sebagai juara Piala AFF Suzuki 2018.

Justeru, sama-sama kita rakyat Malaysia berdoa agar skuad Harimau Malaya membawa pulang Piala AFF Suzuki 2018 malam ini.