SEDAR tak sedar sudah hampir sebulan sesi persekolahan tahun ini berjalan. Masih belum terlambat buat penulis untuk mengucapkan selamat belajar buat mereka.

Rasa agak janggal pula buat penulis untuk menggarap komentar kali ini di luar bidang sukan. Namun tidak mengapa kerana hampir tiga tahun penulis menyimpannya dalam hati.

Isinya rintihan ibu bapa di Kuala Lumpur yang menagih untuk menyekolahkan anak bagi peringkat menengah di sekolah agama.

Bagi peringkat rendah tiada masalah kerana terdapat 75 buah Sekolah Rendah Agama (SRA) disediakan di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Namun, di peringkat menengah jumlahnya amat terhad iaitu tiga buah.

Dua buah sekolah di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) iaitu Sekolah Mene­ngah Agama (SMA) MAIWP dan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA).

Satu lagi sekolah di bawah Kementerian Pendidikan iaitu SMA Kuala Lumpur yang menawarkan program Ulul Albab.

Bukan mahu membuat perbandingan, namun penulis ingin berkongsi dengan pembaca mengenai jumlah SMA di beberapa negeri.

Sekadar contoh, Johor memiliki 22 buah SMA, Ne­geri Sembilan (17), Melaka (9), Pahang (18) dan sebuah SMA di Perlis. 

Penulis berdepan cabaran untuk menghantar anak sulung ke SMA pada akhir 2015 apabila tidak mendapat tempat di SMAIWP dan SMA KL, sebaliknya ditawarkan di Kelas Aliran Agama (KAA) yang menawarkan satu subjek tambahan iaitu Bahasa Arab.

Penulis menolak tawaran KAA kerana berhajat untuk menghantar ke SMA yang menawarkan mata pelajaran fardu ain seperti Hadis, Fikh, Sirah, Tafsir dan Tauhid selain bidang akademik.

Anak penulis akhirnya memilih sekolah agama swasta iaitu Maahad Ihya Ahmadi, Banting sebagai pilihan dan mengambil Tahfiz Sepenuh Masa.

Tiga tahun berlalu, rintihan sama berulang. Ibu bapa terpaksa menelan kepahitan gagal menempatkan anak mereka di SMA kerana jumlah institusi itu di ibu negara amat terhad selain perlu memenuhi syarat ketat.

Permintaan terhadap SMA adalah tinggi berdasarkan jumlah pelajar tahun enam di SRA pada 2016 ialah seramai 4,617 orang, manakala tiga buah SMA di ibu negara dianggarkan mampu menampung lebih 300 pelajar untuk tingkatan satu.

Diandaikan separuh daripada jumlah 4,617 me­nyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh, selebihnya terpaksa pulang ke kampung halaman seperti Johor, Pahang dan Negeri Sembilan untuk menuntut pelajaran agama atau menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). 

Bagi ibu bapa yang berkemampuan mungkin boleh menghantar anak ke sekolah agama swasta.

Justeru penulis berharap Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) berganding bahu untuk menambah jumlah SMA di Kuala Lumpur.

Kementerian Pendidikan mungkin boleh menaik taraf KAA yang ditawarkan di 17 buah SMK ke SMA secara berperingkat.

Strategi Lautan Biru Kebangsaan boleh dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dengan Jakim tanpa perlu membina bangunan baharu sebaliknya menggunakan sekolah sedia ada.

Diharapkan impian ribuan ibu bapa di Kuala Lumpur ini mampu direalisasikan selaras dengan Prinsip Pertama dan Ketiga Maqasid Syariah iaitu menjaga agama serta akal menerusi penyediaan pendidikan berkualiti dan berprestasi tinggi.