Malah, lima suspek itu ditahan semasa mereka  sedang 'melaram' kenderaan itu di sekitar bandar Kota Bharu.

Kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun ditahan kira-kira pukul 8 pagi selepas polis berjaya mengesan kereta merah terbabit di Jalan Mahmood berdekatan Stadium Sultan Muhammad IV.

Mereka juga tidak sempat berjoli hasil curi apabila pemeriksaan lanjut polis ke atas kereta membawa kepada penemuan barangan lain.

Antara barangan yang turut dilarikan dari rumah mangsa ialah seunit komputer riba dan telefon pintar Iphone 7 plus.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, polis turut merampas pemutar skru yang digunakan untuk memecah masuk rumah mangsa.

"Kelima-lima mangsa didapati positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah serta Seksyen 15 (a)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Terdahulu dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi, mangsa, Sarbanu Mohd. Zain, 54, memberitahu, dia tersedar dari tidur selepas enjin kereta dihidupkan penjenayah terbabit dan segera mengejutkan suaminya, Mohamad Zawawi Che Yusoff, 55.

"Suami terus mengintai melalui tingkap bilik tidur dan hanya sempat melihat mereka melarikan kereta kami dari garaj tanpa sempat melakukan apa-apa.

"Mujur mereka tidak ambil motosikal yang ditinggalkan di lorong masuk rumah," katanya.

Menurut Sarbanu, kumpulan tersebut dipercayai memasuki rumahnya dengan cara menghulurkan tangan menerusi tingkap sisip angin bagi membuka selak dari dalam.

"Mereka juga sempat melarikan dompet milik suami yang mengandungi wang tunai RM200, seunit komputer riba dan seunit Iphone 7 plus," katanya.

Difahamkan, kejadian itu tular di media sosial sebelum salah seorang kenalan anak mangsa ternampak Toyota Vios merah berkenaan melalui pasar raya KB Mall.

Kenalan anak mangsa itu segera memberitahu polis trafik yang ketika itu sedang mengawal lalu lintas yang sesak pada sebelah pagi.  - K! ONLINE