Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, justeru kerajaan komited untuk melaksanakan perkara itu kerana pemilihan kerajaan juga memerlukan penglibatan anak muda.

"Sudah sampai masanya kita melibatkan seberapa ramai rakyat untuk memilih kerajaan kerana kita tidak mahu hanya orang-orang tua yang mewakili mereka," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Ismail Yusop yang mahu kerajaan menyatakan komitmen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan pendidikan pilihan raya dilaksanakan seawal umur 13 tahun berikutan cadangan menurunkan had kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

Mohamed Hanipa turut memberi jaminan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sentiasa menyatakan komitmen beliau dalam memastikan sebarang perubahan dasar dalam negara perlu bermula dengan pendidikan di sekolah.

Akademi Pilihan Raya (APR) yang ditubuhkan oleh SPR telah memperkenalkan pelbagai program pendidikan pengundi termasuk penerangan tentang proses pilihan raya sejak 2017.

Ia termasuk mengadakan kerjasama strategik dengan beberapa agensi seperti Kementerian Pendidikan yang meliputi universiti awam dan swasta, kolej komuniti, politeknik dan Institut Pendidikan Guru untuk program pendidikan pengundi. - Bernama