Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, beliau sudah buat yang terbaik untuk menangani isu projek berkenaan dan pihaknya sedang menyiapkan laporan berhubung projek pembangunan berkenaan untuk perhatian Jemaah Menteri.

Menurutnya, kertas cadangan itu juga akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara kerana dakwaan bekas Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini yang mempunyai kepentingan diri terhadap projek berkenaan.

“Jadi biarkan SPRM buat kerja mereka. Jika SPRM temui sebarang penyelewengan mereka akan maklumkan perkara itu kepada Peguam Negara (AG) dan AG akan teliti kes berkenaan jika mempunyai asas kukuh untuk pendakwaan, maka ia akan dirujuk ke mahkamah.

“Ia bukan tertakluk kepada keputusan saya mahupun SPRM. Sebaliknya ia diputuskan oleh mahkamah jika ada kes. Bagaimanapun, SPRM perlu menyiasat dan kemukakan bukti kukuh untuk menyokong kes berkenaan.

“Mereka perlu meyakinkan AG bahawa kes itu kuat untuk didakwa sebelum ia dirujuk ke mahkamah,” katanya selepas Pada pemberita selepas Program Agihan Sumbangan dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini hari ini.

Khalid mengulas mengenai kontroversi projek itu kerana mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa projek berkenaan bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan berkenaan. - Bernama