Intan  Izzura, 21, berkata kedua-dua mereka yang bekerja di sebuah restoran makanan segera dalam proses mengumpul wang untuk berkahwin apabila seorang rakan mengedarkan risalah majlis perkahwinan beramai-ramai. 

Katanya dia segera  memaklumkan perkara itu kepada Faizuddin, 23 dan bersyukur apabila kedua-dua keluarga menyokong niat mereka untuk menjadi sebahagian daripada Majlis Raja Sehari Mega Parlimen Bera 2017 anjuran UMNO Bahagian Bera itu.

"Saya terkejut juga apabila hanya diminta menjelaskan bayaran RM2,000 sahaja kerana pengalaman rakan dan saudara-mara sebelum ini mereka berhabis sekurang-kurangnya RM10,000 untuk majlis perkahwinan. 

"Saya anggap ini rezeki kami kerana wang yang terkumpul setakat ini, walaupun tidak mencecah RM10,000 sudah cukup untuk kami memulakan hidup baharu," katanya semasa ditemui pada majlis itu di Kompleks Rakan Muda Bera di sini, hari ini.

Intan  Izzura berkata kehadiran Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Anggota Parlimen Bera, turut menambah seri pada hari istimewanya memandangkan bukan mudah seorang pemimpin negara memenuhi undangan perkahwinannya jika dilangsungkan di rumah keluarganya.

Tambah istimewa katanya dia tidak menduga akan diarak menaiki kenderaan mewah untuk ke dewan majlis selain diraikan oleh hampir 5,000 tetamu. 

"Semua pengantin perempuan juga bersiap di dalam bilik yang sama. Walaupun tidak kenal antara satu sama lain sebelum ini, kami begitu mesra dan saling bertukar pendapat bagaimana mahu mengurangkan rasa gemuruh sebelum akad nikah berlangsung," katanya. 

Satu lagi pasangan,  Nur Adilla Haminuddin, 23, dan Mohamad Aiman Rozlan, 24,  berterima kasih atas penganjuran majlis itu  yang disifatkan mereka begitu membantu dari segi kewangan. 

Nur Adilla berkata dia  mengetahui tentang  majlis itu daripada orang tuanya yang bertanya jika dia dan tunang mahu segera bernikah memandangkan mereka sudah bersetuju untuk mengadakan majlis pada Mac 2018.

"Kami bersetuju kerana memikirkan boleh menjimatkan wang. Pernikahan juga wajar dipermudahkan dan kami anggap ini adalah rezeki. Paling menarik, ramai kawan yang datang ke sini hari ini juga terperanjat melihat betapa meriahnya majlis," katanya. 

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Salmiah Abdul Rahman berkata majlis itu  yang kali pertama dianjurkan, dilakukan atas inisiatif mahu membantu pasangan dari kawaasan Parlimen Bera yang mahu mendirikan rumah tangga.

Beliau berkata pihaknya mendapatkan tajaan untuk pakaian, pelamin dan solekan supaya semua 10 pasangan pengantin dapat menikmati detik bahagia bergelar raja sehari walaupun bayaran yang dikenakan adalah minimum. 

"Pengantin terlebih dahulu melalui majlis akad nikah di Masjid Darul Fikri di sini sebelum berkonvoi ke Kompleks Rakan Muda bagi memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada pasangan mempelai," katanya. 

Salmiah berkata beliau juga bersyukur kerana majlis itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan walaupun ia dirancang hanya dalam tempoh sebulan, selain mendapat sokongan penuh daripada  Ismail Sabri. - Bernama