Dalam kenyataan hari ini, KDN berkata, semakan rekod pihaknya menunjukkan hanya seramai 648 pekerja asing negara berkenaan telah diluluskan pada 7 dan 8 Mei lalu.

Katanya, pengambilan pekerja asing dibenarkan dari 15 buah negara sumber dan pemilihan negara sumber pekerja asing adalah bergantung kepada keperluan majikan sendiri.

"Kerajaan tetap komited untuk menyediakan peluang pekerjaan dan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan.

"Walau bagaimanapun, sekiranya majikan gagal untuk mendapatkan pekerja tempatan, kerajaan akan mempertimbangkan permohonan penggajian pekerja asing bagi sektor-sektor yang dibenarkan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada," katanya. 

Dalam pada itu, KDN menegaskan pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan sebarang penyalahgunaan berkaitan sistem kemasukan pekerja asing ke negara ini. - Bernama