Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita berusia 26 tahun itu berkenalan dengan suspek pada 21 April lalu menerusi laman sosial tersebut.

Menurut beliau, suspek memperkenalkan diri sebagai warganegara Itali menggunakan nama Muhamed Rahim dan ingin memberi semua hadiah tersebut yang bernilai AS$15,000 (RM62,044) sebagai tanda perkenalan.

"Suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa dia telah menghantar barang tersebut. Pada 26 April lalu, mangsa dihubungi ejen penghantar barang dan meminta bayaran RM3,950 sebagai caj cukai.

"Tanpa sebarang syak, mangsa membuat bayaran tersebut melalui empat transaksi pemindahan wang ke dalam akaun seorang wanita tidak dikenali," ujar beliau menerusi kenyataan kepada pemberita di sini hari ini.

Ujar beliau lagi, mangsa berasa pelik apabila sekali lagi diminta memasukkan wang sebanyak RM8,500 pada Selasa lalu bagi mengelak namanya disenarai hitam.

"Selepas berasa syak, mangsa terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. - K! ONLINE