Beliau yang juga ahli jawatankuasa Pas Pusat berkata, pihaknya tiada masalah untuk melepaskan jawatan berkenaan berikutan tidak menerima sebarang elaun bulanan daripada PPAS. 

Malah katanya, surat peletakan jawatan itu juga telah siap dibuat cuma atas kekangan masa ia belum dapat diserahkan.

“Jawatan itu bukan seperti lantikan GLC ( syarikat berkaitan kerajaan) seperti  Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menerima elaun.

"Saya diarahkan parti untuk menjadi calon dan sedar perlu melepaskan jawatan itu selepas dicalonkan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan Ziarah Kasih di Pangsapuri Seri Melewar, di sini hari ini.

Halimah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah PPAS untuk tempoh tiga tahun bermula 2017 hingga 2020.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi PPAS mulai 2008 hingga 2016.

Mengulas lanjut, Halimah berkata, ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi,  pelbagai usaha dilakukan untuk membudayakan ilmu antaranya ppenganjuran Pesta Buku Selangor pada 2010.

Katanya, pesta tersebut mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Reford (MBOR) sebagai The Largest Outdoor Reading Event yang berjaya mengumpul 15,271 peserta.

"Saya berkhidmat di PPAS bukan kerana elaun tetapi kerana minat membaca," katanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Halimah wajar meletakan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah PPAS ekoran kedudukannya sebagai calon pembangkang sedangkan perpustakaan itu  berada di bawah kerajaan negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Sebelum itu, Penolong Setiausaha, Pemuda PKR (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman menempelak Halimah yang didakwa menunjukkan sikap tidak berintegriti apabila kekal sebagai Ahli Lembaga Pengarah PPAS tetapi pada masa sama menjadi calon pembangkang untuk PRK Seri Setia.

Syed Badli turut menggesa Halimah meletakkan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah kerana memilih jalan menentang kerajaan sedia ada. - K! ONLINE