Penolong Pendaftar Mahkamah, N. Mageswari membenarkan permohonan perintah reman terhadap lelaki berusia 37 tahun itu sehingga 15 September depan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. 

Turut direman untuk tempoh yang sama seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 30 tahun selepas dipercayai bersubahat dengan Hakim Syarie berkenaan. 

Terdahulu, kedua-dua mereka tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Ipoh pada pukul 11.15 pagi sebelum keluar kira-kira dua jam kemudian. 

Hakim berkenaan ditahan pegawai SPRM di sebuah kedai makan di Taman Desa Chemor di sini pada pukul 11.30 malam semalam manakala Lans Koperal pula ditahan di tempat kerjanya di Balai Polis Bukit Merah di sini pada pukul 1.45 pagi tadi. 

Kedua-dua mereka ditahan polis selepas dipercayai terlibat untuk memperoleh suapan berjumlah RM4,000 bagi tujuan melepaskan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang ditahan atas kes khalwat. 

Peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah mewakili Hakim tersebut manakala Lans Koperal diwakili peguam B. Vivien Mitchiel. - K! ONLINE