Mangsa kebakaran yang maut dikenali sebagai K.Kandasamy, 62, S.Jayaletchumy, 59, dan anak mereka K. Ganapathy, 32, yang bekerja sebagai mekanik.

Adik kepada mendiang Jayaletchumy, iaitu S. Susila, 57, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada jiran pada kira-kira pukul 3.45 pagi tadi.

“Pada waktu itu, saya berada di rumah di Sungai Way dan saya terkejut dengan panggilan itu lalu segera ke rumah kakak saya (Jayaletchumy).

“Apabila saya sampai di rumah keluarga kakak, saya lihat bomba sedang padam api di rumah mereka dan mereka tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Susila menambah,  dirinya reda dengan pemergian kedua ibu bapa serta anak saudara lelakinya yang maut dalam kebakaran itu.

“Anak saudara saya (Ganapathy) pada bulan November depan akan bertunang di Nilai, Negeri Sembilan keluarga sebelah perempuan dan di jadualkan berkahwin pada bulan Mac tahun depan.

“Saya selalu melawat kakak, biasanya hampir setiap minggu dan setiap kali jika kami hendak keluar membeli barang di luar, saya akan bawa kakak sekali,” ujarnya.

Beliau berkata,  kakak dan abang iparnya mempunyai dua anak lelaki tetapi adik kepada Ganapathy telah meninggal dunia pada Deepavali tahun lepas.

“Adik kepada Ganapathy meninggal dunia semasa tidur.

“Sekarang tiada sesiapa lagi yang tinggal dalam keluarga mereka,” katanya. - K! ONLINE