Penampilan pertama, Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi pada Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail semalam bukan hanya menjadi tumpuan peminat-peminat perlumbaan motosikal berprestij tersebut bahkan seluruh rakyat Malaysia.

Penulis percaya ramai berdebar-debar serta teruja dengan kemunculan pertama Hafizh sebagai pelumba muka baharu yang perlu bersaing dengan pelumba handalan termasuk jaguh-jaguh dunia MotoGP.

Antaranya legenda dari Itali yang juga juara dunia MotoGP sembilan kali, Valentino Rossi daripada pasukan Movistar Yamaha; juara dunia empat kali, Marc Marquez (Repsol Honda); juara dunia tiga kali, Jorge Lo­renzo (Ducati) dan naib juara dunia tahun lalu serta pemenang GP Qatar 2018, Andrea Dovizioso (Ducati).

Hafizh yang bergandingan dengan pelumba Perancis, Johann Zarco dalam pasukan Monster Yamaha Tech3 merupakan empat pelumba baharu pada musim ini selain Franco Morbidelli daripada pasukan Marc VDS, Thomas Luthi (Marc VDS) dan pelumba Jepun, Takaaki Nakagami (LCR Honda).

Menariknya, Hafizh menjadi pelumba muka baharu kedua paling pantas pada saingan GP Qatar apabila berjaya meraih kedudukan ke-14 sekali gus mengutip dua mata di belakang Morbidelli di tempat ke-12 manakala Luthi dan Nakagami masing-masing di kedudukan ke-16 dan 17 tanpa sebarang mata.

Pada perlumbaan sebanyak 22 pusingan itu, Hafizh yang memakai topi keledar tertera bendera Malaysia berjaya menampilkan aksi cemerlang bahkan memperoleh dua mata bagi kemunculan pertamanya disifatkan sebagai tunggangan menakjubkan untuk pelumba baharu.

Hafizh juga mendapat perhatian serta pujian daripada pe­ngulas MotoGP selepas berjaya menamatkan aksi pada GP Qatar sedangkan pelumba muda Malaysia ini belum arif lagi tentang jentera serta sistem elektronik sepenuhnya, namun masih mampu menampilkan tunggangan bergaya.

Meskipun dilihat bergelut pada awal perlumbaan apabila dipintas sehingga berada di kedudukan ke-17 pada satu ketika, Hafizh yang memulakan aksi di petak ke-15 berjaya bertahan serta memintas pelumba lain sebelum berada di tempat ke-14.

Ketua pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal nyata gembira dengan aksi Hafizh yang disifatkannya sudah mempamerkan prestasi menakjubkan.  

“Ini merupakan aksi GP pertama Hafizh dan kami membe­ritahunya supaya tidak melakukan sebarang kesilapan.

“Tidak dinafikan dia tercicir kedudukan tetapi berjaya bangkit. Dia memacu baik serta bersaing dengan ramai pelumba ternama dan menamatkan saingan bersama dua mata, ia satu prestasi menakjubkan.

“Sudah tentu, jurang peningkatan masih lagi besar tetapi apa pun, tahniah kepada Hafizh dan juga Zarco,” kata Poncharal.

Hafizh sendiri pula semesti­nya berasa lega apabila berjaya menamatkan perlumbaan bahkan memperoleh mata berharga pada penampilan pertama pada MotoGP.

“Alhamdulillah, syukur saya dapat meraih mata, tidak sangka saya dapat kekal dalam kelompok mata. Ini merupakan pengalaman yang cukup baik sebagai persiapan perlumbaan seterusnya.

“Saya akan belajar dan kaji balik apa kelemahan saya. Te­rima kasih kepada peminat yang doakan saya.

“Dua mata ini untuk anda semua, walaupun tidak sasarkan mata, namun berbekalkan semangat dan fokus akhirnya saya bersyukur dapat raih mata untuk pasukan dan Malaysia,” kata Hafizh.

Pada GP Qatar semalam, beberapa penyokong Malaysia turut hadir menyokong kemunculan pertama pelumba negara di pentas MotoGP sambil me­ngibarkan Jalur Gemilang.

Pada penulis, tidak mustahil pada suatu hari nanti Hafizh akan menyebabkan rakyat Malaysia akan lebih berbangga apabila lagu kebangsaan Negaraku berkumandang memecah suasana di litar MotoGP.