Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, ini kerana kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) berpegang kepada prinsip dan dasar pentadbiran sekali gus pindaan itu tidak perlu dilakukan jika semata-mata mahu menunjukkan keikhlasan dan kejujuran kepada rakyat.

"Mengenai tawaran dalam manifesto iaitu mengehadkan jawatan Menteri Besar tidak lebih dua penggal, secara asasnya kami di pihak PH telah mencapai persetujuan bersama untuk memberikan tempoh maksimum dua penggal untuk jawatan Menteri Besar mentadbir.

"Tempoh ini dirasakan paling sesuai untuk melaksanakan segala pelan pembangunan yang dirancang.

"Ini juga dipersetujui di peringkat persekutuan di mana seseorang yang memegang jawatan Perdana Menteri juga tidak boleh melebihi tempoh dua penggal," katanya pada ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.

Osman berkata, had masa tersebut juga dibuat bagi memastikan ketelusan dalam urusan pentadbiran selain dicapai secara konsensus kepimpinan tertinggi PH yang melibatkan empat parti. - Bernama