Kedatangan bulan Rejab memberi petunjuk bahawa kita sudah semakin dekat dengan bulan Ramadan. Ramadan yang sinonim sebagai Penghulu Segala Bulan itu akan tiba dalam tempoh 60 hari dari sekarang.

Seperti kelaziman tahun-tahun sebelumnya, setiap kali Rejab tiba rata-rata dalam kalangan kita akan menerima ‘peringatan mesra’ melalui media sosial seperti WhatsApp berhubung saranan melakukan amalan tertentu pada bulan tersebut serta kelebihannya. 

Bahkan, dengan satu klik di internet kita boleh membaca pelbagai artikel yang membahaskan tentang kelebihan bulan Rejab. Antaranya amalan pada bulan Rejab digandakan 70 pahala, Syaaban diganda 700 pahala dan Ra­madan diganda 1,000 pahala. 

Persoalannya, adakah daripada sekian banyak bulan dalam takwim Islam, hanya Rejab mendapat keistimewaan luar biasa dan umat Islam dituntut bersungguh-sungguh beribadat pada bulan itu sahaja? 

Rejab seperti yang dinyatakan dalam al-Quran merupakan salah satu daripada empat bulan yang dihormati. Ia bulan yang diharamkan berperang. Tiga bulan yang lain ialah Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Pengharaman berperang dalam bulan-bulan tersebut dikaitkan dengan ibadah haji. Menurut Ibnu Kathir, suatu ketika dahulu orang Arab datang ke Mekah pada bulan Rejab untuk memohon hajat.

Salah satu peristiwa besar yang berlaku pada bulan Rejab ialah Israk Mikraj. Dalam peristiwa itu, Nabi Muhammad SAW dibawa dari Masjidilharam di Mekah ke Masjid al-Aqsa, di Baitulmuqaddis sebelum diangkat ke langit.

Dari satu sudut, mengajak orang lain melakukan kebaikan adalah sa­ngat dituntut. Namun, apabila nas bagi sesuatu amalan itu bersandarkan hadis palsu, niat baik tadi telah bertukar menjadi satu dosa pula.

Kepada orang awam yang tiada kepakaran dalam ilmu hadis tentulah agak sukar untuk menilai sama ada sesuatu hadis itu sahih atau sebaliknya.

Inilah senario yang berlaku pada hari ini. Budaya menyebarkan berita palsu bukan benda baharu. Jika dahulu, penyebarannya dari mulut ke mulut tetapi pada hari ini dengan adanya media sosial, berita palsu seolah-olah menjadi ‘makanan minda’ kepada masyarakat moden apabila segala-galanya boleh disebarkan pada hujung jari.

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science baru-baru ini mendedahkan, maklumat palsu di internet tersebar lebih pantas daripada kebenaran. Bahkan, sebahagian besar berita palsu itu disebarkan oleh manusia bukannya robot atau perisian automatik.

Kajian yang dianggap sebagai penyelidikan terbesar seumpamanya itu melibatkan analisis kira-kira 126,000 sampel mesej di Twitter sejak tahun 2006 hingga 2007. Kajian itu mendapati berita tidak sahih dikongsi oleh tiga juta orang sebanyak lebih 4.5 juta kali.

Apa yang membimbangkan adalah berita palsu lebih cepat tersebar kerana ia mengandungi elemen mengejutkan berbanding perkara sebenar.

Penyelidikan yang diketuai oleh Institut Teknologi Massachusetts, Amerika Syarikat itu mendedahkan 70 peratus berita palsu lebih cenderung dikongsi semula di Twitter berbanding berita benar. Berita benar pula mengambil masa enam kali ganda lebih lambat untuk sampai kepada 1,500 orang berbanding berita palsu kepada jumlah orang yang sama. 

Banyak iktibar yang dapat dikutip daripada kisah isteri Rasulullah, Sayidatina Aisyah difitnah. Rombongan Rasulullah yang pulang dari medan perang menuju ke Madinah tanpa di­sengajakan telah meninggalkan Aisyah yang ketika itu keluar berhadas.

Sahabat Rasulullah, Safwan Mu’attal yang ditugaskan untuk memeriksa rombo­ngan yang tercicir telah menemui Aisyah bersendirian lalu membawanya pulang.

Peristiwa itu rupa-rupanya menjadi ‘bahan’ kepada orang-orang munafik untuk memecahbelahkan rumah tangga Rasulullah dengan menyebarkan fitnah kononnya Aisyah mempunyai ‘hubungan’ dengan Safwan sehingga Rasulullah amat terganggu dengan fitnah tersebut.

Rentetan peristiwa itu, Allah telah menurunkan wahyu menerusi surah an-Nur ayat 11 untuk membersihkan nama Aisyah. 

Menyedari betapa dahsyatnya implikasi penyebaran berita palsu ini, Allah menerusi surah al-Hujurat ayat 6 menyatakan: “Wahai orang ber­iman jika datang seorang yang fasik kepadamu membawa berita maka tangguhkan hingga kamu dapat mengetahui kebenarannya agar tidak menyebabkan kamu berada dalam kebodohan dan kehancuran sehingga kamu menyesal dengan apa yang kamu lakukan.” 

Meskipun Rejab terpalit dengan pelbagai hadis palsu namun bulan ini seharusnya menjadi momentum untuk kita bermuhasabah dan mempersiapkan diri bagi menghadapi Ramadan.

Sebagai bulan ‘ulang tahun’ yang difardukan solat lima waktu kepada umat Islam semasa peristiwa Israk Mikraj, maka seharusnya kita memperbaiki ibadah solat terutamanya dari sudut ketepatan waktu dan kualitinya.

Kepada golongan wanita pula, ia adalah peringatan yang baik kepada mereka yang masih belum melangsaikan hutang puasa supaya tidak bertangguh lagi. Semoga Allah memberkati kita pada bulan Rejab dan Syaaban serta menemukan kita dengan Ramadan.

Selamat datang Rejab, Syaaban dan Ramadan.