Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Sembilan, Siti Mazlina Maidin berkata, pelbagai acara menarik disediakan buat pengunjung pada acara yang bakal dirasmikan oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Katanya, pesta yang mendapat kerjasama pejabat Menteri Besar dan Majlis Perbandaran Port Dickson itu menawarkan hadiah wang tunai RM50,000 dalam pelbagai acara yang disediakan.

“Sebanyak 20 acara disediakan seperti pertandingan pancing Port Dickson, PD Fun Run, konsert artis-artis popular, Pertandingan karaoke Battle of the Band," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, program itu diharap mampu menarik pelancong dalam dan luar negara bagi merancakkan lagi kempen promosi di pantai peranginan popular di Malaysia amnya.

Menurut Siti Mazlina, pesta itu turut diharap dapat menyedarkan rakyat mengenai kepentingan menjaga khazanah alam semula jadi, terutama dari segi kebersihan dan mengekalkan keasliannya.

"Selain itu, pengunjung juga boleh beriadah selain menyaksikan acara pertandingan sukan pantai antaranya bolasepak, bola jaring dan tarik tali yang melibatkan penyertaan 200 peserta,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk membuka gerai atau mengadakan promosi mengenai pesta itu diminta menghubungi Pejabat 06-7659869/70/71 atau layari laman Facebook MoTAC Negeri Sembilan dan Pesta Air Malaysia Port Dickson untuk maklumat lanjut. - K! ONLINE