Baginda menerima pengiktirafan itu yang disampaikan Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim pada istiadat pembukaan Majlis Konvokesyen ke-12 universiti itu di kampus Gambang di sini, hari ini.
Pada ucapannya, Tengku Abdullah bertitah pengiktirafan itu perlu dikongsi khususnya dengan ayahanda, baginda Sultan Ahmad Shah dan bonda, Tengku Afzan Tengku Panglima Perang Muhammad yang mangkat pada 1988, kerabat diraja dan seluruh rakyat Pahang.
"Ingatan saya terimbau kepada ikrar yang dilafaz dan janji yang disembahkan 42 tahun lalu di hadapan ayahanda dan bonda ketika saya dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang semasa berusia 15 atau 16 tahun.
"Pada usia semuda itu, saya telah diberikan amanah besar oleh ayahanda sebagai waris ganti dengan pelbagai tanggungjawab terhadap rakyat jelata yang sentiasa dekat di hati saya dan kewajipan kepada Pahang yang saya cintai," titah baginda. - Bernama